Alasan Syed Saddiq disifatkan DANGKAL!

KANGAR – Hujah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) antaranya adalah untuk mengelakkan gerakan belia didominasi oleh orang sama untuk tempoh yang panjang disifatkan sebagai alasan dangkal.

Reaksi keras tersebut disuarakan oleh Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed yang turut membantah pindaan yang menurunkan had umur maksimum belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Katanya, dalam Seksyen 12 Akta 668/1997 Akta Pertubuhan Belia itu jelas memperuntukkan pemegang jawatan bagi sesuatu pertubuhan belia adalah tidak melebihi tiga penggal iaitu dalam tempoh enam tahun.

“Jadi apa masalahnya. Ia merupakan alasan dangkal daripada seorang menteri (Syed Saddiq) yang tidak memahami Akta 668,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Semalam Utusan Malaysia melaporkan, mereka yang berusia lebih 30 tahun kini mungkin tidak boleh lagi digelar sebagai belia, berikutan kelulusan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) di Dewan Rakyat.

Rang Undang-undang (RUU) yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan itu telah meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ untuk menurunkan had umur maksimum belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas 17 ahli Parlimen berbahas mengenai pindaan tersebut.

Ketika menggulungkan RUU, Syed Saddiq berkata, antara kepentingan pindaan itu boleh mengelakkan gerakan belia didominasi oleh orang sama untuk tempoh yang panjang.



Ketika sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen turut menyuarakan kerisauan tentang pindaan tersebut kerana dilihat dibuat tergesa-gesa dan melihat penurunan umur kepada 35 adalah lebih sesuai.

Tambah Noor Hairi, daripada sudut pendanaan pula, sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, pertubuhan dan majlis belia negeri serta daerah tidak lagi menerima bantuan pentadbiran seperti disalurkan kerajaan Barisan Nasioanal (BN) sejak sekian lama.

“Jadi, dalam isu dana diberikan kepada belia berumur lebih 30 tahun tidak masuk akal, sedangkan dana tersebut juga tidak pernah wujud. Secara kesimpulan saya melihat kesungguhan menteri ingin menurunkan had umur ini adalah sebagai langkah politik tidak matang.

“Alangkah baiknya menteri menumpukan kepada janji-janji yang telah keluar daripada mulutnya sendiri sebelum pilihan raya lalu seperti mencipta satu juta peluang pekerjaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker