Saya Terkilan, Majlis Belia Malaysia (MBM) Bantah Turun Had Umur Belia

Share

KUALA LUMPUR 3 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) berasa kesal terhadap Kementerian Belia dan Sukan apabila pindaan berkenaan Rang Undang Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668 pindaan 2019, dibuat tanpa persetujuan terakhir dengan pihaknya.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, selaku rakan strategik utama kementerian itu, pihaknya amat terkilan dengan tindakan yang bakal memberi kesan langsung kepada persatuan tersebut khususnya berkaitan pindaan had umur belia.

Beliau berkata, kali terakhir MBM dan KBS bermesyuarat tentang perkara itu adalah pada 16 April lalu, namun belum dimuktamadkan dan masih belum mencapai apa-apa persetujuan bersama.

“Saya hanya mengetahui tentang pindaan ini ketika hari kedua saya menghadiri International Forum Development of Parliamentarism di Moscow iaitu pada 1 Julai lalu ketika hari sama pindaan RUU Akta 668 dibentangkan.

“Tiada sebarang makluman daripada pihak kementerian kepada saya sehingga hari ini. Saya hanya mengetahui melalui mesej rakan pimpinan MBM lain. Sekurang- kurangnya draf terakhir pindaan Akta 668 dibentangkan secara rasmi kepada pimpinan MBM untuk persetujuan terakhir bersama, sebagaimana dilakukan oleh menterinya kepada ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MBM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain tanpa sebarang kepentingan dan agenda tersembunyi telah menghantar memorandum khas di Parlimen hari ini bagi merayu pihak KBS menyemak semula RUU tersebut supaya mendapat persetujuan bersama pihaknya.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, solusi transisi perubahan had umur yang lebih disenangi dan diterima oleh semua pihak telah diberikan MBM yang dipersetujui menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri ketika beliau menyampaikan ucapan semasa Hari Belia Negara 2019 iaitu 15 hingga 35 tahun.

Jelasnya, had umur itu adalah munasabah yang diterima oleh semua pertubuhan gabungan MBM untuk dilaksanakan sebelum langkah seterusnya berkempen secara besar-besaran bagi memberikan laluan kepada belia di bawah 30 tahun untuk diberikan ruang seluas-luasnya memimpin pertubuhan belia termasuk MBM.

“Paling penting had umur itu adalah bagi memastikan transisi kepemimpinan berlaku secara sukarela, lancar dan tidak menyebabkan lebih banyak pertubuhan belia di akar umbi mati kerana melibatkan soal memimpin dan mengurus.

“Sebahagian pertubuhan belia yang bersedia telah pun menyahut seruan memberikan laluan kepada kepemimpinan di bawah 30 tahun. Ia dilihat berkesan dan harmoni apabila dilakukan secara sukarela berbanding dipaksa-paksa melalui undang-undang,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

(Visited 16 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!