Kritikan terhadap Bayan Linnas

Share

PANDANGAN sepintas lalu saya, secara ringkas berkaitan Bayan Linnas 188, mengenai had umur mengundi. Saya hanya menyentuh mengenai metode perbahasan. Oleh itu, sama ada setuju atau tidak dengan cadangan had umur 18 tahun bukan isu dan bukan paksi pandangan saya.

1- Tidak dapat dipastikan mengenai kerangka konsep syarak untuk perbahasan artikel itu. Tajuk menyebut ‘menurut perspektif siyasah syar’iyah’ tetapi perbahasan tidak dimulakan dengan apa-apa Maqasid Syariah dan Qawaid Fekah yang berkaitan dengan siyasah daulah.

Kerangka konsep amat penting. Jika tidak, perbahasan akan jadi tidak menentu dan akan menyentuh perkara-perkara yang bukan isu, seperti kepentingan peranan pemuda dalam Islam, kepentingan memilih pemimpin dan sebagainya.


2- Maqasid Syariah dan Qawaid Fekah yang berkaitan dengan siyasah daulah ini amat penting sebagai panduan perbahasan. Oleh kerana kedua-dua topik ini tidak disentuh langsung, maka satu lagi topik yang amat-amat menyentuh mengena topik pemilihan pemimpin dalam Islam turut tidak disentuh, iaitu bab Ahlul Halli wal Aqdi.

Sepatutnya ada ulasan literatur ringkas ketiga-tiga topik itu berkaitan tajuk syarat pemilih pemerintah, yang menggabungkan antara perbahasan ulama dahulu dan kontemporari.

3- Artikel juga tiada kerangka konsep mengenai kuasa politik. Isu pemilihan pemerintah ialah mengenai kuasa dan cara memperolehi kuasa, yang juga membabitkan isu persaingan dan pertembungan. Dalam sains sosial dan politik, topik dominasi dan hegemoni amat penting untuk difahami, yang salah satu perbahasannya membabitkan isu ideologi dan pemikiran pihak yang hegemonik.


Perubahan situasi daripada hegemoni kepada kontra hegemoni perlu diteliti. Ini semua mengenai realiti, agar ijtihad fekah diletakkan atas realiti dengan betul. Tanpa kerangka konsep mengenai realiti, ijtihad fekah tidak menjejak, malah mudah menjadi salah letak.

4- Kesimpulan, metode perbahasan yang tidak betul menyebabkan kita tidak pasti adakah hasil kajian itu betul atau tidak. Kajian ialah untuk mendapatkan hasil, yang kita tidak tahu. Maka penting untuk kita pastikan metode kajian itu betul. Kecualilah kalau kita sudah ada ‘hasil’ dalam kepala kita, maka kita hanyalah cari hujah untuk menyokong ‘hasil’ itu dan itu tidak ilmiah jadinya.

Wallahu a’lam. Sekadar pandangan mengenai metode kajian.


Mohd Hazizi Ab Rahman
Penyelidik Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah

Sumber ISMAweb

Leave a Reply