Demonstrasi desak Azmin dipecat dari Kabinet di luar Parlimen

Sekumpulan lebih 20 orang anak muda Selangor mengadakan demonstrasi di luar Parlimen hari ini bagi membantah ketiadaan tindakan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan terlibat dalam skandal seks sejenis.

Jurucakap kumpulan tersebut, Amin Syazmin berkata, perbuatan Azmin itu memalukan, justeru mendesak menteri berkenaan meletakkan jawatan.

“Demonstrasi ini bertujuan meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memecat Azmin kerana melakukan perkara yang sangat memalukan.

“Kami datang untuk memberitahu Ahli Parlimen bahawa kami menolak ‘semburit’,” katanya.

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan menakrifkan “semburit” sebagai persetubuhan sesama lelaki atau homoseksual.

Katanya, demonstrasi itu akan dijalankan bermula 10 pagi sehingga tengah hari hari ini.

Kumpulan terbabit antara lain melaungkan slogan “kami tolak semburit”, selain membawa beberapa kain rentang yang tertulis “Azmin sila letak jawatan”, “Jangan susahkan Tun M dengan kes semburit”, “Halau Menteri Semburit” dan “Kami Rakyat Malaysia Malu Ada Menteri Kaki Semburit”.

Jurucakap kumpulan itu dari Wangsa Maju yang hanya ingin dikenali sebagai Ali berkata, mereka mahu kerajaan merehatkan Azmin buat sementara sewaktu siasatan polis sedang berjalan.

Ali berkata, ini adalah peringkat pertama kumpulan itu melakukan demonstrasi bagi mendesak kerajaan melucutkan jawatan Azmin.

Katanya, jika tiada tindakan susulan diambil, mereka akan mengadakan demonstrasi di Putrajaya untuk tujuan sama.

Azmin menafikan dakwaan bekas pembantu seorang timbalan menteri, Haziq Aziz bahawa mereka berdua mengadakan hubungan seks di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada Mei lepas.

Haziq, yang juga merupakan bekas ketua Pemuda PKR Santubong membuat dakwaan itu dalam satu rakaman video yang dinaikkan ke Facebook.

Beliau dipecat daripada jawatannya di kementerian terbabit dan semalam dipecat daripada PKR berkuatkuasa serta merta.

PKR berkata, Haziq dipecat kerana membuat dakwaan rasuah tanpa bukti terhadap Azmin. Ia juga berkata, siasatan dalaman parti berhubung dakwaan hubungan seks tersebut sedang berjalan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker