Wakil Rakyat Bersara Perlu Isytihar Harta – Ku Li

Share

Kita amat bersetuju dengan pendapat Ku Li tertutama bagi wakil – wakil rakyat yang telah lama berkhidmat dan pernah menjawat jawatan sebagai Exco atau Menteri di peringkat persekutuan. Malah seseorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kini menjawat semula jawatan tersebut juga perlu diberi perhatian yang lebih oleh pihak yang berwajib supaya proses pengisytiharan harta benar – benar telus dan mencapai objektifnya. Ianya bukan hanya dibuat sekadar melepaskan batuk ditangga bagi memenuhi urusan pentadbiran sahaja. Inilah komitmen yang sepatutnya ditunjukkan oleh Malaysia Baru.

KUALA LUMPUR 2 Julai – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan supaya pengisytiharan harta turut membabitkan wakil rakyat yang sudah bersara.

Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, pesara dalam kalangan polis dan kakitangan awam juga perlu berbuat demikian.


“Mereka juga mesti disiasat memandangkan ada laporan media asing yang menyebut banyak dana keluar dari negara ini.

“Kita kena siasat semua, lihat siapa yang bersalah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Tengku Razaleigh, langkah sama harus dilakukan oleh ahli-ahli perniagaan kerana ‘banyak yang berlaku’ dalam urusan perniagaan mereka.


“Bukan hanya Ahli Parlimen, kakitangan awam dan polis, kenapa sasarkan kumpulan ini sahaja, tapi mereka di sektor perniagaan, banyak yang berlaku,” katanya.

Beliau juga mencadangkan pembentukan undang-undang khusus bagi perisytiharan aset untuk membolehkan langkah yang lebih tegas boleh diambil.

Kata beliau, undang-undang khusus juga membolehkan mana-mana ahli Parlimen yang cuba menyembunyikan harta dan aset masing-masing atas nama pemegang amanah dan individu lain boleh dikenakan tindakan.


“Sebagai Ahli Parlimen, kita isytihar apa yang kita ada dan tidak dan tidak sembunyikan di belakang pemegang amanah. Itu tak betul. Mungkin kita khusus kepada pentadbir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply