Pertemuan 45 minit Mahathir – Kit Siang jadi tanda tanya

Lim Kit Siang agak berhati-hati dalam mendedahkan maklumat berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pagi ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ini adalah pertemuan empat mata mereka sejak pilihan raya umum lalu.

“Kami jumpa selama kira-kira 45 minit dan membincangkan isu-isu nasional,” katanya, tanpa mendedahkan butiran perbincangan.

Terdahulu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong memuat naik gambar pertemuan Lim dan Mahathir pada mesyuarat itu di Tweeter.

Katanya, kedua-dua pemimpin veteran yang pernah berseteru tetapi hari ini adalah sekutu dalam Pakatan Harapan, membincangkan isu-isu negara secara panjang lebar.

“Pakatan Harapan dipimpin oleh mereka yang ingin melihat Malaysia berjaya dan menjadi negara hebat,” katanya.

Mesyuarat itu diadakan selepas skandal seks, membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, dikatakan menggegarkan gabungan PH dan menyebabkan keretakan yang agak parah dalam PKR.

Azmin yakin bahawa seteru dalaman PKR bertanggungjawab membocorkan klip video yang kononnya menunjukkan dirinya terlibat dalam aksi seks songsang dengan lelaki lain.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai lelaki lain dalam video itu dan mendakwa bahawa aksi mereka itu diadakan di bilik hotel Azmin di Sandakan pada bulan Mei.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, mendakwa bahawa ini adalah sebahagian daripada komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Presiden PKR dan bakal pengganti Mahathir, Anwar Ibrahim menafikan sebarang pembabitannya dengan video itu.

Spekulasi bertiup kencang bahawa video, yang sedang di bawah siasatan polis itu, ada kaitan dengan dakwaan bahawa Mahathir mungkin memilih Azmin sebagai penggantinya dan bukan Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker