Kenapa aset Rayer dipaparkan ‘kosong’, soal MP Pasir Mas

Anggota Parlimen Pasir Ahmad Fadhli Shaari menggesa anggota parlimen Jelutong, RSN Rayer menjelaskan apakah punca menyebabkan asetnya dipaparkan sebagai ‘kosong’ dalam portal pengisytiharan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Cadangan ini sebenarnya ingin saya nyatakan sewaktu mencelah ucapan beliau petang ini di Dewan Rakyat, namun sayangnya beliau tidak memberikan laluan kepada saya,” kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan malam tadi.

Ahmad Fadhli dalam kenyataannya meminta penjelasan mengapa pengisytiharan awal yang dibuat pada 11 Oktober 2018 menunjukkan Rayer tidak memiliki sebarang aset, walaupun menerima gaji bulanan sebanyak RM37,800.

“Adalah merupakan satu perkara yang menghairankan apabila ketika pengisytiharan dibuat pada 11 Oktober 2018, beliau tidak memiliki sebarang aset dan hari ini, beliau telah berjaya mengisytiharkan asetnya dengan ‘banglo dan kereta’ yang dimiliki,” jelasnya.



Rayer memberitahu portal berita FMT bahawa beliau telah mengisytiharkan semua harta kepada SPRM.

“Selepas menerima arahan daripada Pejabat Perdana Menteri, saya mengisytiharkan semua pendapatan dan aset saya.

“Saya tidak tahu mengapa SPRM mengisytiharkan bahawa saya mempunyai aset kosong,” katanya.

Ahmad Fadhli dalam kenyataannya mempersoalkan sama ada SPRM telah secara salah memaparkan aset dimiliki Rayer.



“Siapakah yang benar, ahli parlimen Jelutong atau portal SPRM?

“Atau mungkinkah pada waktu pengisytiharan dibuat, ahli parlimen Jelutong tidak memiliki sebarang aset dan hari ini selepas 10 bulan, beliau telah berjaya memiliki aset?’ soalnya.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker