Jelaskan Isu Yuran ILP

KUALA LUMPUR 1 Julai – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menuntut penjelasan daripada Kementerian Sumber Manusia berhubung isu pengecualian bayaran yuran pendaftaran bagi pelajar India di Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Presidennya, Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, tindakan itu dilihat bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hanya Yang di-Pertuan Agong layak menjaga hak-hak bumiputera dan hak sah kaum lain dalam pendidikan.

“GPMS menuntut penjelasan daripada pihak kementerian, adakah ini merupakan dasar baharu Kementerian Sumber Manusia? Adakah kerana Menteri Sumber Manusia hari ini merupakan kaum India maka kelebihan itu diberi?

“GPMS juga menuntut agar sumber pembiayaan pengecualian yuran tersebut dijelaskan. Hal ini demikian kerana jika sumbernya dari Akaun Amanah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), maka ia adalah satu pencabulan wang rakyat dan tindakan ini satu diskriminasi yang besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia atas dakwaan diskriminasi perkauman melibatkan pembayaran yuran di ILP Ledang, Johor.

Ia berikutan pengecualian bayaran yuran yang diberikan kepada kaum India yang datang mendaftar di pusat latihan itu semalam. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker