Terus buntu walaupun pencemaran sudah 10 hari berlaku

Share

Walaupun pencemaran udara di daerah ini sudah berlarutan sehingga 10 hari, kerajaan masih tidak dapat mengenal pasti puncanya selepas melakukan pelbagai usaha.

Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya tidak berputus asa dan usaha akan terus dilakukan.

“Pencemaran pada kali ini tidak sama dengan insiden di Sungai Kim Kim kerana sebelum ini kita tahu punca pencemarannya. Contohnya pada kali ini pelajar yang menerima rawatan adalah sekolah yang berbeza-beza daripada segi geografinya dan ada di antaranya dari sekolah yang sangat jauh,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.

Antara sekolah yang jauh jaraknya dari Pasir Gudang seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tiram, SK Sungai Tiram, SK Taman Rinting dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Plentong.

Bee Yin berkata, berkata, hasil pemantauan kualiti udara di 85 buah sekolah di daerah ini pada hari ini akan membantu mengenal pasti punca pencemaran dengan mengetahui jenis kimia atau gasnya.


Beliau berkata, agensi berkaitan akan mengumpul data bacaan kualiti udara yang berbeza-beza di semua sekolah terlibat sebelum melakukan siasatan terperinci. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply