YB, gunalah bahasa Melayu…

Share

WAKIL rakyat wajib gunakan bahasa Melayu dalam media sosial mereka.

Sebagai penggubal dasar negara dan negeri, segala yang mereka sampaikan perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Tidak ada alasan untuk mereka menggunakan bahasa lain apabila berinteraksi dengan rakyat, apatah lagi bahasa ibunda yang hanya difahami segelintir rakyat.


Jika dalam keadaan perlu sekalipun, gunakanlah terjemahan. Bukan susah pun.

Antara yang paling kerap menggunakan bahasa ibunda dalam hantarannya dalam media sosial ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Pada bulan Jun sahaja, terdapat tujuh hantaran dalam laman Facebook milik Nie Ching menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin.


Memanglah sebahagiannya tentang kehidupan peribadi serta hal-hal pendidikan Cina, namun adakah rakyat yang tidak faham bahasa Mandarin tiada hak untuk membacanya?

Yang mengundi parti anda sehingga boleh bersemayam selesa sebagai pentadbir negara itu penutur bahasa Mandarin sahajakah?

Salah satu perkongsian beliau adalah tentang pengalamannya sebagai ibu yang bekerja. Ia menarik tetapi mengapa hanya untuk mereka yang faham bahasa Mandarin?


Sebab itu bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan yang di dalamnya terkandung fungsi sebagai bahasa perpaduan.

Sebagai Timbalan Menteri, Nie Ching wajib menggunakan bahasa Melayu untuk berkongsi pengalamannya dengan semua pengikut media sosialnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Ini caranya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Namun, segelintir ahli politik lebih suka mengetepikan bahasa kebangsaan ini dan mengangkat bahasa-bahasa lain lebih tinggi.

Ini termasuk juga beberapa ahli politik muda yang kemaruk bahasa Inggeris. Berbual di Twitter tidak mahu guna bahasa Melayu, acah ‘urban’ dan ‘international’.

Sesuai dengan sumpah yang mereka angkat sebagai ahli Parlimen dan ahli Kabinet, mereka wajib memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Cukuplah bahasa Melayu dipijak-pijak maruahnya dengan pelaksanaan ‘dasar singkat akal’ seperti PPSMI dan DLP. YB-YB harus mula jalankan tanggungjawab mengangkat martabat bahasa Melayu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply