Rasisme dan Papan Tanda

Share

oleh Ab Jalil Backer

Sangat melucukan apabila melihat Lim Guan Eng (LGE) dan Dr Maza mengecam rakyat yang mempertikaikan “papan tanda besar” bertulisan mandarin dalam pejabat Kementerian Kewangan sebagai rasis dan punca perpecahan.

Rakyat hanya mahu penjelasan mengapa ada papan tanda gergasi tersebut kerana di Malaysia kedudukan bahasa lain tidak harus lebih utama dari bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.


Jika ia hanya papan tanda sementara untuk sambutan tahun baharu Cina yang lalu, beritahu sahajalah secara baik kepada wartawan dan rakyat.

Mengapa perlu menuduh dan menyindir orang yang membawa isu ini sebagai rasis? Bukankah sebagai kerajaan anda bertanggungjawab membuat penjelasan?

Anda juga ketika menjadi pembangkang tidak pernah menyiasat dan mencari penjelasan sendiri. Semuanya anda lontarkan kepada masyarakat dan kerajaan perlu memberi penjelasan.


Mengapa apabila jadi Menteri anda begitu bongkak dan sombong memberitahu wartawan dan rakyat supaya jangan buat isu sebelum mencari penjelasan sendiri?

Mengapa perlu LGE ungkit mengenai gambar ayat al-Quran dalam MoF. Selain ia telah lama berada di situ sebelum kamu, Islam juga adalah agama Persekutuan Malaysia.

Berpuluh tahun kerajaan lalu dan orang Melayu membenarkan kewujudan pelbagai instrumen berasaskan kaum termasuk sekolah bahasa mandarin, persatuan-persatuan berasaskan kaum, penggunaan nama berasaskan negara luar tanpa sekatan.


Ini jauh berbeza dengan negara-negara jiran lain seperti Indonesia, Thailand dan kemboja. Malah tidak banyak negara Asia membenarkan pengembangan kebudayaan bukan pribumi secara meluas seperti mana Malaysia.

Namun hanya kerana mempertikaikan pemasangan papan tanda gergasi dalam bahasa Mandarin di MoF, kini rakyat yang terbuka ini dituduh rasis dan punca perpecahan.

Ada juga Melayu yang malas membaca dan perasan bagus beria-ria menyokong LGE. Mereka lupa pemimpin DAP ini apabila berucap dalam bahasa cina sentiasa membawa isu perkauman.

Malah salah seorang pemimpin DAP pernah berucap bahawa akan menggunakan pemimpin Melayu untuk “screw” orang Melayu.

Siapa sebenarnya rasis dan bongkak?

Leave a Reply