Minyak Sawit Alami KEMEROSOTAN Terpanjang

KUALA LUMPUR 28 Jun – Niaga hadapan penanda aras mi­nyak sawit di Malaysia turun 7.1 peratus pada suku tahun ini susulan minyak boleh dimakan bergelut dengan stok simpanan yang tinggi ekoran permintaan kurang memberangsangkan.

Prestasinya berbeza sama sekali dengan indeks harga pertanian Bloomberg yang berada di landasan untuk merekodkan keuntungan suku tahun terbaik dalam tempoh tiga ­tahun.

Menurut laporan Bloomberg, satu lagi kehilangan suku tahunan bagi sawit akan mengehadkan penurunan ketujuh berturut-turut, paling teruk ­sejak 1995.

Minyak sawit yang digunakan dalam gula-gula hingga biodisel kini mencecah RM1,951 satu tan, tahap urus niaga ­harian rendah dalam tempoh tujuh bulan.

Kebimbangan terhadap perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta terlalu banyak bekalan dan permintaan yang terlalu sedikit menjadi dominan dalam ke­banyakan pasaran pertanian bagi 2019.

Ketua Rantau Perniagaan Tani CIMB Investment Bank Bhd., Ivy Ng berkata, selain itu, terdapat banyak stok sawit dan kacang soya di peringkat global.

Katanya, pengeluaran di Malaysia telah melebihi jangkaan pasaran meskipun eksport kukuh pada awal tahun ini, tetapi penghantaran lemah.

“Terdapat juga kebimbangan terhadap pertumbuhan bekalan di Indonesia yang boleh ­me­ningkatkan persaingan dengan Malaysia dan mengurangkan harga,” katanya.

Menambah kepada ­berita buruk ini adalah hakikat bahawa kelapa sawit bakal memasuki musim kitaran pengeluaran yang tinggi dan ia boleh mengeruhkan keadaan.

Menurut Pengurus Jualan Institusi Phillip Futures, Marcello Cultrera, dengan pengeluaran Indonesia dilihat naik kira-kira tiga juta tan metrik pada tahun ini hingga September, harga adalah di bawah tekanan.

“Prospek minyak sawit me­nurun dengan unjuran harga di antara RM1,850 kepada RM2,150 sehingga Oktober dan selepas itu boleh diniagakan tinggi kepada RM2,300,” katanya. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker