Kerjasama UMNO, Pas Jadi Keperluan

PADANG BESAR – Kerjasama politik UMNO dan Pas sememangnya menjadi keperluan berlandaskan keadaan politik semasa yang menyaksikan orang Melayu dilihat terancam di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, kerjasama tersebut juga bagi memberi tentangan kepada kerajaan PH yang sering melakukan perkara kurang disenangi oleh rakyat khususnya orang Melayu dan Islam.

“Kerjasama ini (UMNO Pas) bagi mengimbangi PH agar tidak terus melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat,” katanya diketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Dewam Seri Melati, Beseri di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan timbalannya, Azizan Sulaiman.

Sementara itu, Mohamed Khalid memberitahu, UMNO dan Pas akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai piagam kerjasama antara kedua parti itu pada pertengahan bulan depan.

Katanya, pertemuan tersebut nanti bakal memuktamadkan piagam berkenaan.

“Selepas itu, kita akan mencari tarikh sesuai untuk majlis pelancaran piagam berkenaan. Pada masa ini, semua berjalan lancar,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker