Ranjau ta’awun ke kemuncak agenda ummah

PERUBAHAN sosial adalah perubahan budaya yang membawa kepada perubahan pola fikir dan akhirnya membawa kepada perubahan politik.Bagi mengimbangi perubahan ini penting bagi kita membezakan antara usaha “politiking” dan usaha politik yang berjalan mengikut pendekatan yang seimbang antara siyasah dan period peradaban masyarakat.

Malik bin Nabi menggariskan bahawa “berpolitik perlu disertai ilmu sosiologi, bukan semata-mata kegiatan yang bersifat anarkis dan perlu disuaikan dengan tuntutan pembinaan sosial”. Ta’awun siyasi UMNO-Pas telah membuka dimensi baharu senario politik dan pembinaan sosial.

Muktamar Pas kali ke-65 di Kuantan pada 21 hingga 23 Jun lalu telah melakar sejarah tersendiri apabila perwakilan muktamar telah menerima usul tanpa bahas berhubung ta’awun siyasi UMNO–Pas.

Perkembangan positif ini telah menarik perhatian pelbagai pihak, walaupun pada peringkat awal ia mendapat reaksi sinis ketika saya mengetuai delegasi UMNO hadir ke Majlis Perasmian Muktamar Pas kali ke-64 di Stadium tertutup Gong Badak tahun lalu.

Ta’awun siyasi kali ini cukup unik dan berbeza dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas pada 1973, tidak 100 % kerjasama tersebut direstui ahli-ahli Pas.

Ketika dibentangkan usul untuk Pas menyertai BN, 190 perwakilan mengundi bersetuju, 94 menentang, 19 berkecuali dan 30 memilih tidak menghadirkan diri.

Memetik ungkapan Presiden Pas: “Penerimaan usul ta’awun menandakan Pas mendapat keizinan daripada parti bagi menjalin hubungan ke tahap lebih jauh iaitu tahaluf siyasi. Proses ke arah tahaluf siyasi dengan UMNO sedang dimulakan.

Setakat ini taawun dulu, kerana bertahaluf ini ada syarat-syarat yang perlu dipersetujui bersama. Ta’awun ini kerjasama, tahaluf ini sejenis ikatan”

Saya menyokong dengan saranan dibuat Dewan Ulama Pas supaya ta’awun siyasi menjadi rujukan dalam strategi serta pendekatan semasa.

Selain itu garis panduan terperinci berkaitan taawun siyasi diwujudkan untuk dijadikan rujukan seragam pada semua peringkat parti.

Dewan Ulama Pas Pusat menyokong penuh usaha ta’awun siyasi demi maslahat Islam. Demi survival agama Islam, institusi Raja Melayu, kestabilan politik negara dan penjagaan hak istimewa kaum teras Melayu serta Bumiputera. Ta’awun ini juga strategi penggabungan undi yang menguat suara semak dan imbang terhadap kerajaan.

Jalan ke arah ta’awun siyasi telah terbentang luas, apa yang lebih mencabar ialah ranjau yang bakal diharungi dan ditempuhi bagi merealisasikannya.

Pihak-pihak yang rasa tergugat dengan ta’awun ini akan terus-menerus berusaha menimbulkan keresahan, kerisauan, melabel dan menghasut rakyat bagi membantut perpaduan ini.

Tetapi yakinilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka merancang, Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang” (Ali ‘Imran-54)

Kerajaan nampaknya terlalu berpolitik, sehingga banyak asas-asas perlembagaan melibatkan kepentingan Islam dan orang Melayu satu persatu dipertikai dan dirobek. UMNO menolak sebarang usaha dan campur tangan bukan Islam dalam urusan agama Islam.

Adakah kita sudah ketandusan agamawan dan intelektual Islam sehingga orang bukan Islam dipelawa dan diberikan ruang campur tangan dalam urusan Islam untuk terlibat dalam penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam.

Tindakan Setiausaha Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) dan golongan liberal pertikai tindakan Majlis Agama Islam Kelantan (dengan kerjasama UKM dan Jakim) menyampai dakwah kepada Orang Asli di Kelantan.

Menurut mereka ia bertentangan dengan hak asasi kemanusiaan dan kebebasan agama yang dijamin oleh perlembagaan.

Persoalan ditimbulkan golongan liberal ini sangat menghairankan. Usaha dakwah kepada Orang Asli bukan baru dimula semalam.

Dakwah kepada bukan Islam bermula hampir 40 tahun lalu dan tidak bertentangan dengan perlembagaan, Islam sebagai agama negara. Kenapa golongan liberal tidak pertikai gerakan pendakwah Kristian melakukan gerakan kristianisasi Orang Asli.

Saya berkeyakinan naratif ta’awun UMNO-Pas akan sampai ke nokhtahnya, dengan syarat semua ahli dan pendukung UMNO-Pas memahami bahawa ta’awun bukan agenda peribadi tetapi ia agenda ummah.

Bermula dengan satu hasrat membentuk agenda, jurang yang ada dirapatkan, antara tersurat dan tersirat diperjelaskan, antara akal dan nafsu diseimbangkan, antara kata dan kota dilaksanakan.

AHMAD ZAHID HAMIDI

#demiummah
#akhiratdidepan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker