Malaysia Menjelang 2020

KIRA-KIRA 185 hari lagi negara akan menjengah tahun 2020 yang pernah dijadikan tahun bagi pencapaian negara dalam sebuah wawasan. Wawasan 2020 yang menjadi tema negara dan dorongan untuk melonjak negara kepada negara maju bertaraf dunia.

Semangat rakyat disuntik agar turut menjayakan wawasan ini diiringi dengan semboyan Malaysia Boleh. Pada tahun 2020, Malaysia akan mencecah umur ke 64 tahun kemerdekaan.

Setelah negara berkembang sehingga ke tahap ini, tidak ramai memahami apa erti wawasan negara. Menurut fahaman kami, wawasan negara seharusnya ke arah transformasi masyarakat agar bebas daripada lingkaran imperialisme, menemukan kembali akar budaya, tradisi dan nilai serta membentuk sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Kita harus faham apa makna menjadi bangsa terjajah. Penjajahan meminggirkan tradisi ekonomi, ketrampilan, institusi masyarakat, malah agama yang pegang oleh bangsa pribumi. Dalam proses penjajahan inilah ia mewujudkan sebuah negara yang terjajah untuk akhirnya masyarakat yang dijajah dikawal dan seluruh sumber bumi dieksploitasi untuk kepentingan penjajah.

Pengalaman negara yang dijajah biasanya berdepan dengan pihak keselamatan penjajah (polis dan tentera) yang sering menindas sebarang kebangkitan massa untuk memastikan rakyat patuh kepada undang-undang penjajah. Malah sekolah diwujudkan untuk mendidik dan mendisiplinkan tenaga kerja tempatan untuk pengembangan ekonomi penjajah. Pemikiran rakyat pribumi diprogramkan supaya menerima citra dan pandangan hidup penjajah Barat. Dalam kerangka berfikir penjajah, bangsa pribumi ditanam nilai bahawa bangsa penjajah barat lebih superior daripada bangsa lain.

Hatta hospital diwujudkan sebenarnya untuk menjaga kesihatan buruh tempatan dalam keadaan baik semata-mata supaya produktiviti kerja warga tempatan menjamin ekonomi penjajah. Segala prasarana disediakan agar pergerakan dan pengangkutan sumber ekonomi dapat disalurkan kepada pusat metropolitan yang menjadi pusat pemerintahan penjajah. Sumber hutan beribu hektar dieksploitasi untuk ladang dan perlombongan bagi menjamin ekonomi penjajah. Termasuk juga kos tenaga kerja murah disediakan daripada tenaga tempatan untuk syarikat multinasional bagi menghasilkan barangan untuk eksport.

SyariahSebab itu perlu difahami bahawa kemerdekaan hakikatnya hanya memindahkan kuasa politik daripada penjajah kepada golongan elit lokal yang terdidik dengan sistem pendidikan barat. Mereka melanjut malah mengukuhkan sistem tinggalan penjajah bukan untuk menghidupkan semula tradisi dan falsafah yang telah wujud dalam masyarakat tempatan tetapi untuk mengekalkan sistem penjajah. Demikianlah bagaimana perlembagaan negara dilakar oleh suruhanjaya yang dipengerusi oleh British sehingga seluruh pembangunan negara dalam pelbagai aspek dibentuk dan dicorak mengikut sistem peninggalan penjajah British.

Natijahnya syariah terpinggir. Padahal selama 12 abad, tradisi syariah telah berjaya dilaksanakan dalam pelbagai aspek kehidupan, politik, perdagangan, kekeluargaan, hubungan antarabangsa dan pengurusan alam sekitar. Sistem berlandaskan syariah terbukti lebih baik dan berkesan. Namun syariah ternyata diketepikan. Akibatnya hegemoni penjajah, kini syariah terbatas hanya kepada soal kekeluargaan. Apa yang berlaku ialah model barat diambil dan ditiru bulat-bulat. Prinsip syariah tidak diaplikasi dalam institusi negara sepenuhnya.

Apa yang jelas, model barat adalah rantaian daripada sejarah penjajahan. Negara barat adalah berdasarkan sekularisme, materialisme, individualisme, demokrasi liberal dan pasaran kapitalisme. Projek penjajah imperialis adalah untuk mewujudkan tamadun universal yang memaksa semua negara patuh kepada standard yang ditetapkan, perdagangan bebas, demokrasi, hak manusia, hubungan gender dan budaya. Jika ada yang menentang mereka akan ditekan dan diugut perang.

Pertimbangan moral sangat kecil dalam sistem barat. Agama tidak punya tempat dalam undang-undang sains, ekonomi, pengurusan awam dan perdagangan. Alam hanya dianggap komoditi yang boleh dieksploitasi sewenang-wenangnya. Sedangkan dalam perspektif tradisi Islam, alam adalah amanah untuk ditadbir dengan sangat hati-hati agar tidak merosakkan keseimbangan ekologi.

Wawasan 2020 mahu membangunkan negara mengikut acuan sendiri. Negara tidak harus menurut arah tamadun Eropah yang jelas menuju kehancuran. Ia telah menatijahkan pelbagai krisis – ekonomi, alam sekitar, sosial, ekonomi, kerohanian, bukan sahaja di tingkat lokal malah di seluruh dunia tanpa ada penyelesaian yang pasti.

Mohd Azmi Abdul Hamid @ Cikgu Azmi
Presiden MAPIM

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/34783/KOLUMNIS/Malaysia-menjelang-2020
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker