Semangat UMNO Makin KUAT!

Share


MUKADIMAH

SELEPAS lebih setahun, UMNO kini semakin pulih daripada kekecewaan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ahli-ahli di peringkat akar umbi termasuk seluruh kepemimpinan UMNO telah menerima kekalahan bersejarah tersebut.

Malah menurut, Naib Presiden UMNO, DATUK SERI MAHDZIR KHALID, masing-masing juga menyedari mereka perlu bangkit segera untuk mengatur strategi serta memperkukuhkan parti bagi berdepan pilihan raya umum seterusnya. Oleh itu, katanya, ketika ini juga merupakan
waktu terbaik untuk ahli-ahli UMNO membantu memperkukuhkanhubungan dalam kalangan mereka selain mengelak untuk bertelagah antara satu sama lain.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, BADRUL ISA, bersama jurugambar AZLAN HADI ABU BAKAR dan juruvideo Utusan Online, MOHD. FIKRI PADIL@FADZIL di pejabatnya di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur kelmarin, Mahdzir turut berkongsi pandangan mengenai episod baharu
kerjasama UMNO dan Pas selain beberapa isu semasa.

UTUSAN: Pas telah memuktamadkan kerjasama mereka dengan UMNO dan ia telah dipersetujui dan diputuskan di Muktamar Pas baru-baru ini, bagaimana pula tindakan UMNO selepas ini?

MAHDZIR: Kami ucapkan terima kasih kepada Pas yang telah membuat satu keputusan secara konsensus untuk menyokong usul memuktamadkan kerjasama dengan UMNO.

Kita menyambut baik perkara itu jadi UMNO juga akan berbuat demikian untuk memperakukan kerjasama itu apabila tiba Perhimpunan Agung UMNO nanti iaitu pada hujung tahun ini.

Ahli-ahli Pas telah bersedia dengan kerjasama ini, bagaimana pula dengan UMNO?

Saya kira kerjasama ini kena jadi satu daripada teras parti UMNO sebab parti politik di mana-mana juga keutamaan mereka adalah untuk menang dalam pilihan raya, untuk mencapai kejayaan itu mesti ada sesuatu yang boleh memberi kesan yang positif kepada parti.

UMNO bersedia untuk menghadapi PRU-15 dengan kerjasama ini?

Insya-Allah UMNO mempunyai biro politik, badan pengurusan di peringkat tertinggi yang dari semasa ke semasa akan mengatur perancangan yang berjalan secara berkala, tidak hanya tunggu sahaja.

Dalam kerjasama politik ini yang masih di peringkat awal adakah sesuai isu mengenai pengagihan kerusi di antara UMNO dan Pas dibincangkan?

Kepemimpinan kedua-dua parti pada waktu ini sedang menguruskan piagam perpaduan ummah, jadi insya-Allah dalam masa terdekat ini ada jawatankuasa induk, teknikal kedua-dua belah pihak, Pas dan UMNO akan duduk bermesyuarat.

Kita selesaikan semua perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pihak terlebih dahulu dan kemudian diangkat kepada jawatankuasa induk dan ini akan dikenali sebagai piagam perpaduan ummah.

Perlukah lagi wujud dalam UMNO insiden berebut menjadi calon dalam pilihan raya?

Bila nak cari calon, kita cari yang boleh diterima bukan sahaja oleh UMNO tetapi juga masyarakat di luar. Ada formulanya, tapi biarlah itu nanti diputuskan oleh kepemimpinan termasuk kaedah dan caranya.

Bagaimana Datuk Seri melihat peluang kerjasama antara UMNO dan Pas bagi konteks negeri Kedah?

Di Kedah insya-Allah kerana kerjasama UMNO dan Pas begitu baik sekali. Ada program bersama di peringkat bahagian, malah juga program di peringkat cawangan.

UMNO kini sedang menjalankan persidangan perwakilan UMNO bahagian, bagaimana proses perjalanannya setakat ini?

Selepas selesai cawangan-cawangan buat mesyuarat, kini mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara iaitu ada 191 bahagian akan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian mereka dari pertengahan Jun ini hinggalah 30 Ogos.

Setakat ini antara perkara yang dibangkitkan sempena dengan mesyuarat bahagian ini adalah berkenaan solidariti dalam parti dan yang kedua bagaimana kerjasama melalui perpaduan ummah UMNO-Pas ini boleh memperlihat dan mempertingkatkan sokongan kepada kedua-dua buah parti yang telah bersetuju untuk bekerjasama.

Berbanding tahun lalu yang rata-rata perwakilan masih dalam keadaan semangat yang jatuh selepas tewas, bagaimana pula kali ini?

Tahun ini sudah tahun kedua, semangat itu semakin tinggi. Cerita pasal kalah juga sudah pulih dan sekarang ni nak pergi kepada macam mana di tiap-tiap kawasan Parlimen kita boleh membangkitkan semangat mereka untuk bersama.

Saya telah hadir ke dua mesyuarat perwakilan bahagian dan saya tengok ahli dan perwakilan ramai dan mereka begitu bersemangat untuk adakan mesyuarat.

Bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan UMNO ketika ini secara keseluruhan? 
 Alhamdulillah, UMNO walaupun kalah, kita berada di kedudukan tertinggi di parlimen, menang 54 kerusi parlimen semua sekali di antara parti-parti yang tertinggi. Di negeri-negeri pun kita menang pun banyak.

Cuma ketika ini kita kena yakinkan ahli parti bahawa kita mempunyai kekuatan dan semangat dan mempunyai kepimpinan yang boleh melihat bagaimana masa depan UMNO ini boleh dicorakkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata tidak tahu mengenai dana yang kononnya daripada 1MDB disalurkan ke akaun UMNO Kedah semasa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan parti, apa pandangan Datuk Seri?

Macam mana beliau boleh kata tidak tahu, beliau pengerusi dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai bendahari, jadi takkanlah dalam mesyuarat tak bangkitkan hal tersebut, wang masuk dalam akaun dan sebagainya.

Takkan tak tahu, mengaku sahajalah, tapi dia kata tak tahu nak buat macam mana.

Ada pihak sudah membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam isu ini dengan harapan UMNO di ambil tindakan termasuk untuk mengharamkannnya, apa komen Datuk Seri?

Memanglah kalau nak buat atas apa juga alasan, mereka boleh buat kerana mereka pihak yang berkuasa. Sama ada nak lapor kepada ROS atau sesiapapun dan kita hadapilah apa yang akan berlaku.

Saya tak rasa sehingga perlu UMNO menubuhkan parti baharu. Tapi kalau mereka pergi sampai proses untuk mengharamkan UMNO, kena ada pilihanlah untuk kita.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah dasar lama dan tidak akan dilaksanakan semula namun akan mengadakan pendekatan baharu. Apa pandangan Datuk Seri sebagai bekas Menteri Pendidikan?

Merujuk kepada fakta sebelum ini apabila dibuat simulasi kepada pelajar yang bersekolah di luar bandar dengan di bandar, markah pelajar di kampung terlampau rendah.

Manakala sekolah di bandar lebih baik kerana ada sedikit pendedahan, lalu ia mendapat tentangan termasuk oleh pejuang-pejuang bahasa, PPSMI kemudian dibatalkan.

Ketika saya sebagai menteri kita perkenalkan program Program Dwibahasa (DLP). Maknanya pelajar ada pilihan sebab, ia bukan dasar. Oleh itu, saya fikir kalau kerajaan nak buat balik dasar seperti PPSMI, kena buat kajian secara keseluruhan.

Kena kaji pasal guru. Simulasi kena buat balik berapa lama proses nak ambil dan untuk latih guru-guru ini serta jumlah guru yang perlu diambil.

Apa yang sepatutnya kerajaan lakukan dalam aspek pendidikan ketika ini?

Saya kira kerajaan sekarang ini kena betulkan persepsi sama ada betul atau tidak bahawa banyak urusan berkaitan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina semacam dikawal oleh timbalan menteri. Beliau yang banyak buat pengumuman contohnya mengenai peruntukan yang diperoleh.

Kerajaan juga mesti konsisten dalam cadangan dasar seperti berhubung kononnya mata pelajaran agama banyak sangat diajar di sekolah kebangsaan sehingga ada yang mengkritik sekolah kebangsaan akan jadi sekolah Islam.

Padahal tak timbul begitu. Proses itu kena jelas kepada masyarakat bahawa di sekolah kebangsaan ada perkara yang perlu dipertimbangkan dan diseimbangkan.

UTUSAN



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *