Pergolakan kuasa di sebalik video lucah

Share


Isu video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kini sudah berlanjutan lebih dari dua minggu sejak 11 Jun.

Isu ini bukan sahaja mempertegangkan konflik dalaman PKR, tetapi menyebabkan tempoh peralihan jawatan perdana menteri sekali lagi menjadi perbincangan utama dalam medan politik Malaysia.

Penganalisis politik Tang Ah Chai berpandangan, dalam isu transisi perdana menteri dan video seks, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berada dalam kedudukan dominan.

Kini, kesahihan video seks bukan lagi isu pokok tetapi yang penting ialah sikap dan pendirian Mahathir terhadap masa depan politik Azmin Ali, ulasnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Tang, Mahathir banyak kali menegaskan sokongannya terhadap Azmin dan menyatakan tiada keperluan untuk Azmin meletakkan jawatan “kerana skandal video seks palsu bukan cara Malaysia”.

“Hal ini telah menimbulkan persoalan sama ada Azmin mungkin calon bakal PM.

“Juga disebabkan Mahathir tidak memberi tempoh transisi yang jelas, penyokong (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim) mulai gusar dan mendesak Azmin bercuti, serta menggesa Mahathir beri garis masa penyerahan jawatan PM,” katanya.

Tang berkata langkah Mahathir tidak menyatakan dengan jelas dalam isu itu bagi memberi bayangan bahawa pelan transisi mungkin berubah pada bila-bila masa.

“Anwar kerap berjumpa dengan Mahathir kebelakangan ini.

“Dari segi bahasa tubuhnya, kita dapat lihat Anwar kurang yakin terhadap peralihan jawatan itu,” jelasnya.

Di samping itu, pemimpin-pemimpin lain dalam Pakatan Harapan yang mengelak jawab isu ini turut memberi peluang kepada Mahathir terus menerajui kedudukan dominannya, kata Tang.

Katanya, jika konflik Anwar-Azmin meledak, Azmin berkemungkinan keluar parti bersama kumpulannya dan menyertai Bersatu jika mendapat sokongan DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, Tang berkata status quo struktur PH akan kekal asalkan kedudukan Azmin tidak tergugat.

‘Sokongan wakil rakyat pada Azmin kecil’

Sementara itu, seorang pemerhati PKR yang enggan namanya disebut berkata, Azmin tidak akan keluar parti melainkan beliau dipecat.

“Ia bukan pilihan. PAS dan Umno juga tentu sukar menerima pemimpin yang ada isu moral.

“Azmin dan penyokongnya tidak akan tinggalkan PKR kerana mereka harus menjadi pembangkang.

“Kecualilah Azmin dan mereka menyertai satu daripada tiga parti lain (dalam PH), misalnya Bersatu. Tetapi tentunya pilihan ini juga tidak menguntungkan beliau dan penyokongnya”, ulasnya.

Pemerhati itu berpendapat, Azmin mungkin masih ada sokongan meluas, seperti tergambar dalam keputusan pemilihan PKR tahun lalu, tetapi jumlah wakil rakyat yang bersamanya kini dikatakan “sangat kecil”.

Ini berlaku selepas tercetusnya dakwaan seks sejenis dengan seorang pemimpin akar umbi PKR.

“Sokongan ahli parlimen dan Adun pada Azmin kurang sebab team Anwar kuasai calon-calon pilihan raya umum yang lepas. Yang menang, majoriti bukan penyokong Azmin. Kontroversi video ini mengurangkan lagi jumlahnya yang sudah memang sedikit.

“Saya nampak hanya sekumpulan kecil penyokong Azmin akan keluar jika PKR pecah. Saya tidak fikir PKR akan pecah. Kalau pecah pun, ia tidak akan serius,” jelasnya.

Berbeza dengan Tang, pemerhati ini berasa DAP akan memihak kepada Anwar.

“Azmin berharap pada PM sahaja tetapi sokongan ini tidak stabil jika sekutu-sekutu dalam PH tidak memihak kepada Azmin tetapi menyokong Anwar.

“Masih terlalu awal untuk tentukan siapa pilihan Mahathir sebab PM sekarang tiada sokongan kuat.

“Anwar melalui PKR dan sokongan DAP telah menjadi tulang belakah PH. Yang lain-lain pasti akan ikut Anwar,” tegasnya.

20 tahun krisis dalaman

Seorang lagi penganalisis politik Phoon Wing Keong turut berpandangan bahawa PKR tidak akan berpecah dan kem Azmin juga tidak akan keluar parti.

Menurutnya, PKR berulang kali berhadapan dengan perebutan kuasa dan krisis dalaman sejak 20 tahun lalu, namun ia tidak pernah berpecah.

Seandainya Mahathir berpegang teguh kepada janjinya dan mengalihkan jawatannya kepada Anwar dengan lancar, maka PKR tidak akan pecah, kata Phoon.

Beliau juga percaya bahawa isu video seks tersebut lahir daripada konflik dalaman PKR bagi tujuan mengurangkan rintangan Anwar sebelum menjadi PM.

“Dari segi realiti politik, setelah Anwar menjadi PM, kem-kem PKR akan distruktur semula kerana pada masa itu, pastinya ramai memilih untuk mendekati Anwar dan sekali gus kekuatan Azmin akan dilemahkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Phoon masih optimis bahawa Mahathir akan menunaikan janjinya kerana perbuatan ini berkaitan dengan legasinya setelah bersara.

“Ini adalah satu peluang keemasan bagi Mahathir membersihkan rekod lamanya, dan meningkatkan kedudukan sejarah sendiri.

“Jikalau beliau tidak menepati janji pada saat akhir dalam kerjaya politiknya, pasti akan menimbulkan pergolakan politik yang amat besar seterusnya menjejaskan peluang memerintah PH pada PRU akan datang.

“Situasi ini tidak membawa sebarang faedah kepadanya. Kosnya terlalu besar, Mahathir juga tidak mampu menampung gelombang politik yang lain lagi,” ulas Phoon.

Phoon yakin Mahathir masih akan memberi jawatannya kepada Anwar seperti apa yang dijanjikan sebelum ini.

Sementara itu, katanya, Azmin mempunyai kelebihan dari segi umur.

Dan seandainya beliau mampu bertahan sabar, beliau pasti ialah calon perdana menteri yang seterusnya selepas Anwar, kata Poon lagi.

Katanya. tindakan Mahathir menyokong Azmin tidak bermakna Azmin adalah calon bakal PM, tetapi ia lebih kepada strategi Mahathir untuk mengimbangkan perebutan kuasa dalaman PKR.

“Sekiranya kem Anwar terlalu kuat, mungkin mereka akan memberi tekanan kepada Mahathir. Ini bukan situasi yang diingini oleh Mahathir.

“Maka, kadangkala mesej Mahathir agak samar, adalah untuk memastikan kestabilan posisi sendiri,” jelas Phoon.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *