Mohd. Bakke dilantik Pengerusi Felda

Share

KUALA LUMPUR 26 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai ini sehingga 30 Jun 2021.

Mohd. Bakke yang tidak asing dalam tadbir urus Felda dilantik bagi menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor yang melepaskan jawatannya berkuat kuasa 30 Jun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk melantik Mohd. Bakke yang berpengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.


“Mohd. Bakke merupakan seorang tokoh korporat yang berintegriti dan berwibawa.

“Saya yakin beliau mempunyai kepemimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Bakke merupakan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Bhd. yang akan bersara pada 30 Jun ini selepas berkhidmat untuk Kumpulan Sime Darby hampir sembilan tahun.


Sebelum menyertai Sime Darby, Mohd. Bakke ialah Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd. dan selepas itu beliau dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. pada Januari 2009.

Mengenai peletakan jawatan Megat Zaharuddin, Mohamed Azmin menghargai sumbangannya yang telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) membina semula Felda dan memastikan kemampanan industri perladangan serta masa depan peneroka yang terjamin.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau. Maka, saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri dan berbincang tentang pengganti untuk meneruskan kecemerlangan pengurusan Felda,”- UTUSAN ONLINE


Leave a Reply