Kurikulum Islam 
Bina Bangsa Malaysia

DALAM artikel ini saya ingin memberi beberapa cadangan penting terhadap pengubahsuaian subjek Islam yang di ajar di sekolah. Pasukan petugas yang ditubuhkan Dr. Maszlee Malik kini dalam peringkat kajian tentang proses itu.

Syabas diucapkan kepada Dr. Maszlee yang berani mengorak langkah penting walaupun dihumban dengan segala tohmahan oleh golongan ekstremis Melayu yang hanya berfikir secara sempit dan ‘kedekut’. Malaysia ini milik semua rakyat dan subjek Islam perlu memberi pengiktirafan demikian.

Ada yang menuduh bahawa Islam nanti akan dikompromi tetapi saya yang banyak membaca buku, hadis dan tafsir al-Quran berpandangan bahawa Islam itu luas, progresif dan lebih terbuka dari apa yang difahami golongan agamawan tradisional yang tidak faham sistem ekonomi, ilmu, pentadbiran moden serta semangat Sustainable Development Goals yang dirangka oleh United Nations.

Kita perlu berubah, kalau tidak dunia akan mengubah nasib kita dengan cara memboikot umat Islam daripada kemajuan bersama.

Pertama sekali, dalam bab sejarah Islam adalah amat perlu satu mesej utama disajikan kepada pelajar. Mesej yang satu itu adalah bahawa kebanyakan peperangan antara orang Islam dengan orang Kristian seperti Perang Salib di zaman silam dan zaman moden di antara Islam dan Yahudi ada mempunyai aspek-aspek politik serta agenda-agenda peribadi tokoh politik.

Bukan kesemua sebab musabab adalah antara satu agama dengan agama lain. Perkara ini penting agar peristiwa silam tidak dijaja golongan ekstremis bagi agenda mengebom atau membunuh bukan Islam atau menjalin hubungan baik antara manusia.

Sejarah itu banyak interpretasinya dan tidak semestinya ia menjadi pembentuk persepsi negative atau sikap buruk terhadap sesuatu agama, kaum atau individu.

Dalam bab Tauhid perlu satu mesej penting juga. Bahawasanya agama Islam itu adalah kesinambungan agama Kristian dan Yahudi. Kesinambungan konsep serta nilai-nilai kemanusiaan yang merentas ketiga-tiga agama itu perlu dijelaskan.

Janganlah disebut agama-agama ini telah ‘sesat’ tetapi sebut penganutnya membawa agama itu ke jalan lain bagi kesenangan diri sendiri dalam kehidupan dipilih mereka.

Kita tidak mahu aspek comparative religion cara Zakir Naik dimuat sebagai Islam itu benar dan yang lain itu ‘salah’. Ada orang Melayu yang kurang senang dengan cadangan ini kerana pemikiran mereka adalah kebudak-budakan walaupun dah ada PhD dari universiti tempatan.

Kita tahu bahawa ilmu itu sesuatu yang kompleks dan mustahil bagi kita semua mendalami kesemuanya. Harus ada ruang doubt atau ‘keraguan’ agar kita masih belajar hingga ke liang lahad.

KITA SAJA YANG BETUL

Yang menjadi masalah adalah orang Melayu dan agamawan banyak berfikir dia dah khatam semua ilmu sejarah, agama dan antropologi, jadi dia boleh menghukum kiri dan kanan. Ini tidak benar.

Kita harus sajikan ilmu apa yang kita tahu dan tahu apa yang kita tidak tahu. Maka itu dalam bab ini jika diketengahkan kesamaan nilai-nilai kemanusiaan antara agama maka tidaklah umat Islam jadi bongkak dan takbur kononnya dia saja yang betul dan orang lain tidak.

Iman dalam hati boleh tulus kepada satu keyakinan tetapi ilmu akademik tidak boleh sedemikian kerana masyarakat kita akan terperangkap dalam kejumudan intelek.

Dalam bab fikah, harus dijelaskan beberapa perkara penting juga. Di antaranya sikap haram dan halal. Pada masa kini timbul suasana tidak sihat apabila golongan agamawan mengajar orang bukan Islam adalah ‘najis’ dan ‘kotor’ kesemuanya.

Maka itu tubuh mereka ini tidak layak menyediakan makanan atau memijak karpet masjid. Saya telah banyak mempelajari hadis-hadis Rasulullah dalam banyak kitab tidak pun saya terasa demikian. Bagaimana pula kita beranggapan seperti ini?

Ini tidak lain adalah sifat takbur dan bangga diri yang tersalah tempat. Maka timbul isu berbuka puasa di tempat ibadat lain itu kotor sifatnya dari aspek fizikal dan spiritual.

Kalau ini tanggapannya, kalau saya orang bukan Islam, saya akan terasa terhina dan mungkin ‘menyampah’ dengan orang Islam. Bagaimana anak-anak kita nak cari kerja di masa hadapan kalau orang lain mengambil sikap membenci umat Islam yang menganggap orang lain itu kotor-sekotornya?

Dalam bab ibadat, saya ingin menyentuh tentang senibina masjid dan perkaitan ibadat dengannya. Subjek ini adalah tesis kedoktoran saya.

Pertama, perlu dididik bahawa penggunaan kubah dan menara adalah sesuatu yang tidak perlu sama sekali. Saya berani menghujah bahawa dalam Islam Rasulullah, kedua-duanya boleh dianggap ‘membazir’ dalam banyak aspek.

Hanya dalam Sunnah Melayu sahaja ia dianggap amat perlu. Malah ada seorang profesor Melayu di institusi Islam menyindir saya dalam suatu wacana akademik bahawa beliau akan terasa kekurangan spiritual ibadat kalau berada di masjid yang tiada kubah dan menara!

Saya juga terdengar rungutan orang Sikh bahawa di sesebuah negeri, Gurdwara mereka tidak dibenarkan pembinaan kubah kerana ia hanya khusus pada masjid.

Ada juga seorang Kristian memberitahu saya bahawa bumbung gereja mereka tidak dibenarkan lebih tinggi dari menara masjid. Saya sudah belajar berpuluh-puluh tahun tentang senibina Islam dan aspek kehidupan serta nilai Islam dari sunnah Rasulullah.

DAKWAH BERHIKMAH

Dari mana datangnya persepsi golongan agamawan sedemikian? Bagi saya perkara-perkara ini akan membuat umat lain membenci Islam tak semena-mena kerana jelas dalam penyelidikan saya, Rasulullah tidak bersikap begini.

Malah Rasulullah pernah menegur ketinggian menara dan pembinaan kubah yang membazir serta yang ‘menayang’ keangkuhan sesuatu bangsa.

Juga dalam bab ini perlu ditegur tentang konsep perkara yang mengganggu ketenteraman dan kemudahan orang lain. Contohnya, apakah ibadat kita diterima Allah jika kita bergegas-gegas mengejar sembahyang Jumaat dan meletak kereta sewenang-wenangnya mengganggu laluan trafik?

Apakah afdal kita menyiarkan bacaan al-Quran pada pembesar suara di pagi hari selama setengah jam lantas mengganggu tidur semua orang? Adakah diterima Allah ibadat kita yang seronok mendengar ceramah agama waktu Isyak yang dilaungkan melalui pembesar suara dengan kuat.

Rasulullah mengajar kita berdakwah secara hikmah. Rasulullah juga menegah menyukarkan orang. Contohnya Rasulullah memarahi imam solat yang memanjang bacaan al-Quran kerana ada orang tua, sakit, ada hal serta ibu yang menyusu.

Ada seorang tua yang memohon rumahnya dijadikan masjid kerana terlalu jauh bagi beliau datang solat maka Rasulullah bersetuju dan pergi ke rumah beliau serta bersolat di sana untuk mengiktiraf penubuhan masjid qariah.

Umar Ibnu Aziz pun pernah ditegur rakyat biasa apabila beliau membaca Quran dengan kuat untuk membangunkan orang sekeliling untuk solat Tahajud.

Rakyat itu berkata kalau nak bagi Allah dengar, maka Allah Maha Mendengar dan kalau nak menunjuk-nunjuk, baik tidur kembalilah! Kisah ini dirakam oleh Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin.

Walaupun ada banyak lagi cadangan pengubahsuaian tetapi saya ingin menutup dengan mesej Dr. Maszlee terhadap masalah sebenar ilmu agama Islam. Beliau pernah berkata bahawa yang penting dalam pelajaran agama adalah sikap serta nilai love and empathy atau kasih sayang serta empati.

Bagi saya, agama Islam kini telah hilang kasih sayang terhadap semua manusia dan hanya menjadi sebuah kelab perkauman. Kita tidak lagi boleh empathise atau merasakan diri kita sebagai minoriti atau orang lain yang terpaksa berhadapan dengan kejumudan fikiran sesuatu penganut agama.

Semoga subjek Islam masa depan membina bangsa Malaysia dan jaringan global yang sihat dan bukannya meruntuhkan tali hubungan manusia keseluruhannya.

PROFESOR DR. MOHD TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.

Related Articles

One Comment

  1. Nice try Prof but……… – Jangan cuba jual your Diabolism Intellectual kepada masyarakat muslim kearah Pluralism Agama

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker