PERALIHAN KUASA KINI JELAS DALAM TEMPOH TIGA TAHUN, BUKAN DUA TAHUN.

Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad sekali sekala pernah direkodkan memberi bayangan mengenainya, saya tidak pasti dari mana datangnya ketentuan bahawa peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku dalam tempoh dua tahun.

Begitupun, inilah yang dipegang oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN pada 24 Februari 2019 yang memutuskan: “KEADILAN berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun”.

Tun M , Anwar PRK Port Dickson
Walhalnya, “Muafakat Pakatan Harapan” pada 6 Januari 2018 sekadar menyebut secara umum: “Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8”.

Meneliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir mengenai peralihan kuasa ini, saya sendiri lebih cenderung untuk beranggapan bahawa ia akan berlaku dalam tempoh tiga tahun. Ini kerana dua kali sebelum ini Tun Dr Mahathir menyebut mengenai tempoh tiga tahun ini, iaitu:

(1) Di dalam wawancara beliau dengan wartawan The Guardian bernama Hannah Ellis-Petersen yang disiarkan pada 2 Mei 2018, di mana Tun Dr Mahathir menyebut: “Saya memerlukan masa (sebagai Perdana Menteri) – dua tahun, tiga tahun – kerana ada perkara-perkara yang perlu saya lakukan, yang mana pengalaman saya akan membantu” (“I need to have time in office – two years, three years – because there are things that I need to do, which my experience will help”).

(2) Di dalam wawancara beliau dengan wartawan Focus Malaysia bernama Emmanuel Samarathisa yang diterbitkan dalam keluaran 30 Mac-5 April 2019, di mana Tun Dr Mahathir menyebut: “Saya mempunyai masa yang sangat pendek cuba membuat kerja 10 tahun dalam tempoh dua atau tiga tahun” (“I have so short a time trying to compress 10 years of work into two or three years”).

Hari ini, 24 Jun 2019, Tun Dr Mahathir sekali lagi menyebut di dalam wawancara beliau dengan wartawan CNBC bernama Tanvir Gill: “Saya tidak akan (menjadi Perdana Menteri) lebih daripada tiga tahun” (“I will not go beyond three years”).

Berdasarkan kepada kenyataan ini, rasanya sangat eloklah untuk Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN umumnya dan untuk Datuk Seri Anwar sendiri khususnya menetapkan semula (re-set) minda mereka bahawa peralihan kuasa ini akan berlaku dalam tempoh tiga tahun, bukan dua tahun.

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker