LAPORAN POLIS KE ATAS PAS MENUNJUKKAN KEBODOHAN DAP

Share

Dilihat dari sudut mana sekalipun, tindakan Nga Kor Ming menggesa supaya laporan polis di bawah Akta Hasutan dibuat ke atas Salamiah Mohd Nor II lantaran ucapan beliau yang dikatakan mendesak supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan dan tindakan pemimpin DAP Perak membuatnya semalam hanyalah memperlihatkan kekurangcerdikan mereka sahaja.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding telah dengan jelas memutuskan bahawa desakan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Mark Koding didapati bersalah bukan kerana membuat desakan ini tetapi kerana menuntut pindaan ke atas Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Begitupun, pemimpin DAP ini berkeras dengan mengatakan dalam laporan polis mereka bahawa desakan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan tetap bercanggah dengan Perkara 152 (1) yang menyebut “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain”.


Sangat teruk sekali jika pemimpin-pemimpin DAP, khususnya yang mempunyai sedikit sebanyak latar belakang perundangan termasuk peguam-peguamnya yang ramai, tidak tahu bahawa soal sama ada sekolah-sekolah Cina dan Tamil dilindungi oleh Perkara 152 (1) atau tidak telah turut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding ini.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding ini telah memutuskan bahawa peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran apa-apa bahasa lain” yang terkandung dalam Perkara 152 (1) ini berbeza daripada peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran dalam apa-apa bahasa lain”.

Tegas Mahkamah Persekutuan, tiada apa-apa dalam peruntukan ini yang membolehkan perlindungan sama diberikan kepada operasi sekolah yang bahasa pengantarnya adalah Cina, Tamil, Arab atau Inggeris (“to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English”).


Oleh itu, usaha pemimpin-pemimpin DAP untuk tetap cuba memangsakan Salamiah di bawah Akta Hasutan dengan menggunakan Perkara 152 (1) ini, walaupun Salamiah sendiri tidak menyentuh Perkara 152 (1) dalam ucapan beliau, sudah pastilah tidak akan membuahkan hasil malah hanya menunjukkan kekurangcerdikan mereka sahaja.

Pemimpin-pemimpin DAP ini juga kurang cerdik bila tetap menggunakan Akta Hasutan walaupun pemimpin-pemimpin tertinggi DAP telah berkali-kali mendesak dan menegaskan komitmen DAP kepada penunaian janji dalam Manifesto Pakatan Harapan supaya Akta Hasutan dihapuskan yang hanya menunjukkan sikap tidak konsisten mereka.

Tindakan pemimpin-pemimpin DAP tetap menggunakan Akta Hasutan ini tentulah boleh digunakan untuk menunjukkan kerelevanan Akta Hasutan, malah atas hujah inilah Ramkarpal Singh terpaksa mengaku silap menggesa Tun Hanif Omar disiasat di bawah Akta Hasutan setelah ditegur oleh abang beliau sendiri, Gobind Singh, pada 10 September 2018.


Dr. Kamarul Yusoff

Nota: Tajuk dikeraskan sedikit oleh Admin daripada tajuk asal. (Kekurangcerdikan –> Kebodohan)

Leave a Reply