Adib malang lagi: Setelah mati, disingkir pula

KASIHAN Muhammad Adib Mohd. Kassim (Adib). Selepas mati, disingkirkan pula. Dia ialah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Jabatan Bomba), satu jabatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Dia mati akibat kecederaan yang dialaminya semasa bertugas di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada pagi 27 November 2018 untuk memadam kebakaran yang disebabkan oleh perusuh-perusuh.

Oleh sebab Pendakwa Raya tidak dapat membuat keputusan apa atau siapa yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematiannya, maka inkues mengikut Bab XXXII Kanun Acara Jenayah diadakan untuk mencari sebabnya.

Kerana Adib adalah seorang kakitangan KPKT dan Jabatan Bomba, maka kementerian dan jabatan itu semestinya bertanggungjawab melihat sebab kematiannya disiasat dan diputuskan dengan teliti dan adil. Kementerian dan jabatan itu tidak boleh lari daripada tanggungjawab tersebut, apatah lagi melepas tangan dan menjauhkan diri.

Saya percaya, itulah niat KPKT dan Jabatan Bomba apabila melantik Syazlin Mansor sebagai peguam kementerian, Jabatan Bomba dan Adib yang diwakili oleh keluarganya. Kemudian kita baharu tahu perkhidmatan itu pun diberi secara percuma oleh Syazlin.



Keluarga Adib kehilangan anak muda disayangi, mungkin diharapkan untuk membantu mereka yang sudah tua dan miskin, akan berkahwin tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya ia memberi sedikit harapan untuk melihat keadilan dilakukan kepada anak mereka di samping tidak membebankan untuk mendapat perkhidmatan peguam dan belanja berada di Shah Alam sepanjang inkues. Paling kurang, mereka merasa lega kerana bekas majikan anaknya (kerajaan) mengambil berat.

Inkues bermula pada 11 Februari 2019.

Pada 3 April 2019, Jabatan Peguam Negara memfailkan satu afidavit yang disahkan (affirmed) oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah bagi menentang permohonan (di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan) Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.

Saya percaya, alasan jawatankuasa itu ialah ia mempunyai kepentingan dalam inkues. Maka afidavit difail untuk menafikan kenyataan jawatankuasa itu. Afidavit itu mengatakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi telah memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Adib bahawa kecederaan yang dialaminya yang menyebabkan kematiannya, bukanlah kecederaan akibat dipukul.



Kenyataan itu sekali gus menolak tuduhan bahawa Adib mati akibat dipukul dan dipijak oleh perusuh-perusuh. Ertinya perusuh-perusuh itu tidak boleh dipersalahkan mengenai kematian Adib. Sebab itulah setelah afidavit difail, jawatankuasa tersebut menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.

ATAS PERSETUJUAN

Saya percaya afidavit difail dengan pengetahuan dan persetujuan Pendakwa Raya/Peguam Negara, jika tidak atas arahannya pun.

Saya dapati tiada apa salahnya dengan afidavit yang difailkan oleh timbalan pendakwa raya itu dengan syarat:



i. Hingga masa itu sahaja keterangan yang ada padanya mengenai sebab kecederaan hingga membawa maut kepada Adib. Jika ada keterangan lain mengenainya, beliau tidak sepatutnya memilih keterangan itu untuk dimasukkan dalam afidavitnya;

ii. Beliau tidak mengambil pendirian bahawa itulah sebab yang mesti diterima oleh pendakwa raya, KPKT dan Jabatan Bomba dalam inkues dan keterangan-keterangan yang bercanggah, jika dikemukakan kemudian, mesti ditolak, kerana:

(a). Inkues masih belum selesai dan koroner masih belum memberi keputusannya; dan

(b). Dalam inkues itu, pendakwa raya tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak sebab peranannya semata-mata untuk membantu mahkamah. Pendakwa raya (melalui pegawainya, timbalan pendakwa raya) hadir di mahkamah bukan untuk mendakwa (prosecute) sesiapa atau mewakili kerajaan, kementerian atau mana-mana jabatan kerajaan.



Inkues kematian Adib berterusan hingga hari ke-37 dan 29 orang saksi telah dipanggil.

Pada 19 April 2019, saksi ke-29 adalah Profesor Dr. Shahrom Abd. Wahid, bekas pakar forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau memberi keterangan yang berbeza daripada keterangan Dr. Ahmad Hafizam yang dipetik dalam afidavit itu. Shahrom mengkritik teori Ahmad Hafizam yang mengikutnya, tidak selaras dengan laporan bedah siasat Adib.

Perlu diambil perhatian, semasa Shahrom memberi keterangan, hanya tinggal dua teori mengenai apa menyebabkan kecederaan yang membawa maut Adib itu:

1. Teori Ahmad Hafizam bahawa Adib keluar sendiri dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang sedang berundur dan belakang sebelah kirinya dilanggar pintu van yang terbuka itu menyebabkannya terhumban dan tulang-tulang rusuknya patah dan mencucuk paru-parunya.



2. Teori Shahrom ialah bahawa Adib ditarik keluar oleh perusuh-perusuh dan pintu van itu sedang ditendang yang menyebabkan Adib tersepit.

“Adib tidak mungkin dilanggar pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan,” kata Shahrom. (Astro Awani 19 April 2019)

Pada 27 Mei 2019, Syazlin membuat kejutan apabila menarik diri daripada mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib.

Pada 28 Mei 2019, Tommy Thomas, sebagai Pendakwa Raya dan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan tindakannya.



Daripada kenyataan itu adalah jelas Pendakwa Raya/Peguam Negara telah mengarahkan KPKT untuk menarik balik pelantikan Syazlin sebagai peguam yang mewakili kementerian dan Jabatan Bomba di dalam inkues kematian Adib. Ini disahkan oleh Syazlin dalam sidang akhbar pada 12 Jun 2019. Tommy Thomas memberi empat sebab:

Pertama, KPKT dan Jabatan Bomba, sebagai kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam swasta mestilah dilantik oleh Peguam Negara/Pendakwa Raya.

Kedua, Syazlin berada dalam pendirian konflik kepentingan apabila bersetuju untuk mewakili KPKT dan Jabatan Bomba kerana beliau juga turut mewakili keluarga Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini.

Kepentingan pihak-pihak itu mungkin bertentangan, dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak.

Ketiga, pegawai-pegawainya yang melaksanakan tugas mereka membantu majistret (koroner) telah memaklumkan kepadanya bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif dalam inkues itu, malah sering mengambil pendirian bercanggah daripada pendirian yang diambil oleh timbalan pendakwa raya. Perkara ini adalah memalukan Syazlin dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT.

Keempat, suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Menteri). Atas sebab-sebab di atas beliau telah memohon agar Menteri menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan Jabatan Bomba.

Kita terpaksa melangkau ke 12 Jun 2019. Pada hari itu, Syazlin mengadakan sidang akhbarnya untuk menceritakan apa yang berlaku. Antara lain, beliau menyatakan, dari awal lagi Menteri menghendakinya menjadi pemerhati (to hold a watching brief) bagi kes Adib. Tetapi oleh sebab Pendakwa Raya tidak melakukan pendakwaan sebaliknya meminta mahkamah mengadakan inkues, beliau ditugaskan menjadi pemerhati.

Syazlin seterusnya menyatakan bahawa pada tarikh Pengurusan Kes Prosiding Inkues, 18 Januari 2019, telah memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa beliau mewakili keluarga Adib, KPKT dan Jabatan Bomba. Pada tarikh tersebut, keluarga Adib telah diterima masuk sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu.

Beliau kemudiannya membuat hujahan agar KPKT dan Jabatan Bomba diterima masuk sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini.

Tiada bantahan dibuat oleh pegawai pengendali prosiding inkues (timbalan pendakwa raya) itu. Setelah mendengar hujahannya, koroner telah membenarkan KPKT dan Jabatan Bomba menjadi pihak berkepentingan dalam inkues.

Pada 24 Mei 2019, beliau telah dihubungi oleh menteri yang memaklumkan kepadanya bahawa Peguam Negara telah menghantar surat kepada untuk beliau menarik balik pelantikan Syazlin sebagai peguam yang mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba dalam inkues itu.

Syazlin menekankan bahawa dari awal sehinggalah 24 Mei 2019, tiada sebarang bantahan dibuat oleh pegawai pengendali inkues mengenai pelantikannya, dan fakta bahawa beliau tidak boleh mewakili ketiga-tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib.

Syazlin seterusnya menyatakan beliau merasa pelik apabila mula menyoal teori pakar forensik patologi HKL, dan membawa saksi pakar Shahrom untuk membantu inkues, isu konflik kepentingan dan pelantikannya baharu dibangkitkan.

Pada pandangan beliau terdapat cubaan untuk mengacau ganggu prosiding inkues, terutamanya dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pakar Shahrom.

Adalah jelas daripada kenyataan Pendakwa Raya sendiri dan kenyataan Syazlin dalam sidang akhbarnya bahawa selepas Shahrom memberi keterangan, pendakwa raya telah mengarahkan Menteri untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada mewakili KPKT dan Jabatan Bomba.

Mengenai alasan pertama Tommy Thomas, oleh sebab beliau tidak merujuk kepada mana-mana undang-undang, saya akan membincangkannya bersama-sama alasan yang diberi oleh Majlis Peguam, kemudian.

Mengenai alasan kedua, (rujuk di atas), seorang peguam itu dilarang mewakili lebih daripada satu pihak, jika dengan berbuat demikian dia akan berada dalam keadaan percanggahan kepentingan (conflict of interests). Itu masalah peguam tersebut, bukan masalah Pendakwa Raya/Peguam Negara.

Isunya ialah seorang peguam (dalam perbincangan ini, Syazlin) tidak sepatutnya mewakili sesuatu pihak jika beliau (Syazlin) khuatir akan berlaku percanggahan kepentingan. Isunya bukanlah sama ada Pendakwa Raya/Peguam Negara fikir Syazlin akan menghadapi percanggahan kepentingan jika mewakili ketiga-tiga pihak itu.

Yang lebih tahu sama ada terdapat percanggahan kepentingan di antara KPKT dan Jabatan Bomba di satu pihak dan Adib di pihak yang lain, jika ada, ialah Syazlin. Dalam inkues kematian Adib, sepanjang inkues berjalan, KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib sekata, termasuk mengenai keterangan pakar forensik yang dibawa oleh Syazlin. Saya percaya, keluarga Adib mengikut sahaja. Yang tidak suka kepada keterangan Shahrom itu adalah Tommy Thomas (pendakwa raya). Adakah itu menjadikannya percanggahan kepentingan kepada Syazlin?

PERCANGGAHAN

Jika terdapat percanggahan kepentingan, yang bertanggungjawab adalah Syazlin, bukan Pendakwa Raya/Peguam Negara. Percanggahan kepentingan itu adalah alasan yang diberi pada tempat yang salah untuk mengeluarkan Syazlin daripada mewakili KPKT dan Jabatan Bomba kerana Syazlin telah membawa masuk keterangan Shahrom.

Saya ingin bertanya kepada KPKT dan Jabatan Bomba: Adakah kedua-duanya akan melepaskan tanggungjawabnya terhadap anggotanya yang mati semasa bertugas?

Akibat pendirian Pendakwa Raya/Peguam Negara dalam inkues ini, bagaimanakah pendirian beliau dalam contoh-contoh berikut? Pertama, dalam permohonan habeas corpus, pemohon akan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Adakah pada masa hadapan, Jabatan Peguam Negara hanya akan mewakili Kerajaan Malaysia dan membiar Menteri Dalam Negeri mendapatkan peguamnya sendiri?

Kedua, dalam tuntutan sivil kerana kecuaian perubatan (medical negligence) di mana plaintif menamakan pakar bedah, Pengarah Hospital dan Kerajaan Malaysia, adakah Jabatan Peguam Negara hanya akan mewakili Pengarah Hospital dan Kerajaan Malaysia manakala pakar bedah terpaksa mendapatkan peguamnya sendiri, sebab beliau mempunyai kepentingan terus (direct interest)?

GEMBIRA

Walau bagaimana pun, terdapat berkembangan yang mengembirakan bagi keluarga Adib. Dalam sidang akhbarnya pada 12 Jun 2019, Syazlin memberitahu, atas desakan keluarga Adib, beliau telah memutuskan untuk terus mewakili keluarga Adib dalam inkues itu.

Tetapi, itu tidak memperbaiki kedudukan KPKT dan Jabatan Bomba yang telah melepaskan tanggungjawabnya terhadap anggotanya yang mati semasa bertugas atas nasihat pendakwa raya yang salah. Anggota-anggota Jabatan Bomba dan beribu-ribu kakitangan kerajaan lain yang menyabung nyawa setiap kali mereka keluar bertugas, juga perlu mengambil perhatian. Mereka tidak boleh mengharapkan Syazlin atau peguam-peguam lain akan mewakili keluarga mereka dengan percuma. Peguam-peguam itu juga perlu mencari makan.

Mengenai alasan ketiga (rujuk di atas), itu adalah sebab sebenar mengapa Tommy Thomas tiba-tiba melenting, iaitu setelah beliau diberitahu oleh pegawainya-pegawainya (timbalan pendakwa raya) bahawa Syazlin telah mengambil peranan aktif di dalam inkues itu, malah sering mengambil pendirian bercanggah daripada pendirian yang diambil oleh timbalan pendakwa raya. Perkara itu adalah memalukan Syazlin dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT, katanya.

Di sini jelas kesilapan Tommy Thomas:

i. Beliau tidak boleh terima tindakan Syazlin membawa masuk keterangan Shahrom yang memberi keterangan bercanggah dengan keterangan Ahmad Hafizam. Ertinya, beliau telah mengambil pendirian menerima keterangan Ahmad Hafizam dan menolak keterangan Shahrom, sekali gus melepaskan perusuh-perusuh itu daripada sebarang liabiliti.

Ini adalah satu inkues untuk mencari sebab kematian Adib, bukan satu kes jenayah di mana pendakwa raya menjalankan pendakwaan. Biar apa pun pandangan peribadi Tommy Thomas, sebagai pendakwa raya, beliau tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak.

“379. With the permission in writing of the Public Prosecutor an advocate may be employed on behalf of the Government to conduct any criminal prosecution or inquiry……”

Soalnya ialah sama ada kata-kata “to conduct any criminal prosecution or inquiry” itu termasuk “to hold a watching brief”.

Jika tidak, seksyen ini juga tidak terpakai. Jika ya, maka bolehlah dikatakan bahawa pelantikan Syazlin oleh KPKT tanpa kebenaran Peguam Negara itu tidak sah, bukan atas alasan yang diberi oleh Majlis Peguam tetapi atas alasan ini.

Jika pendakwa raya berpendirian neutral, seperti yang sepatutnya, beliau masih boleh memberi kebenaran itu kepada Syazlin dan meneruskan inkues. Pendirian seperti itu lebih adil kepada semua. Adib tidak tersingkir. KPKT dan Jabatan Bomba tidak rugi apa-apa kerana itulah tujuan asal kementerian apabila melantik Syazlin. KPKT dan Jabatan Bomba pun tidak boleh dituduh hanya menjaga kepentingan sendiri, anggotanya yang mati semasa bertugas boleh mati katak. Kerajaan pun nampak lebih adil.

Tetapi itu pun jika peguam berkenaan dibenarkan mengambil pendirian yang berlainan daripada pendakwa raya dan tidak dihalang daripada membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang di dibawa (led by) pendakwa raya.

Kesimpulannya, kesilapan Tommy Thomas dalam hal ini ialah beliau fikir pendakwa paya mewakili kerajaan dalam inkues itu. Oleh itu KPKT dan jabatan kerajaan mestilah mengikuti pendiriannya mengenai sesuatu keterangan; KPKT dan Jabatan Bomba mesti diwakili oleh pegawai pendakwa raya yang semestinya akan mengikut telunjuknya; keluarga Adib tidak boleh diwakili oleh Jabatan Peguam Negara kerana mereka mempunyai kepentingan terus (direct interest).

Maka KPKT dan Jabatan Bomba pun terpaksalah melepaskan tanggungjawabnya terhadap bekas anggotanya yang mati semasa bertugas untuk melihat bahawa keadilan berlaku kepadanya. Keluarganya dianggap seperti musuh yang mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap KPKT dan Jabatan Bomba.

Kita bukan meminta Pendakwa Raya /Peguam Negara memihak kepada Adib kerana beliau seorang kakitangan kerajaan. Kita hanya meminta beliau supaya:

1. Memahami peranan pendakwa raya dalam inkues itu;

2. Jangan menyebelahi mana-mana pihak;

3. Kemukakan keterangan yang ada padanya;

4. Jangan cuba menghalang keterangan yang bercanggah dengannya;

5. Berilah kebenaran kepada kementerian untuk melantik Syazlin atau mana-mana peguam lain untuk mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib;

6. Dalam inkues, jangan mengambil pendirian menerima sesuatu keterangan dan menolak yang lainnya dan menghendaki KPKT dan Jabatan Bomba mengambil pendirian sama.

7. Jangan singkirkan Adib; dan

8. Biarlah koroner memperoleh semua keterangan yang berkenaan untuk membolehkannya membuat keputusan yang betul dan adil.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker