ISU PENUTUPAN SEKOLAH VERNAKULAR: NGA KOR MING JAHIL UNDANG-UNDANG

Share

Saya terkejut membaca kenyataan media Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, yang meminta DAPSY membuat laporan polis ke atas perwakilan PAS, Salamiah Mohd Nor II, yang mendesak supaya sekolah vernakular dihapuskan.

Kata Nga Kor Ming, gesaan demikian adalah bersifat menghasut kerana sekolah vernakular didakwa dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman Nga Kor Ming, seorang Ahli Parlimen dari Sabah, Mark Koding, telah membuat desakan sama dengan desakan yang dibuat oleh Salamiah ini pada 11 Oktober 1978.

Ekoran ucapan beliau itu, Mark Koding telah dihadapkan ke mahkamah yang berakhir dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa “the accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools” (“Mark Koding adalah tidak bersalah kerana menghasut apabila beliau menganjurkan penutupan sekolah-sekolah Cina dan Tamil”).

Begitupun, Mark Koding tetap didapati bersalah di bawah Akta Hasutan oleh Mahkamah Persekutuan kerana anjuran beliau bahawa “sekiranya tindakan-tindakan ini (menutup sekolah-sekolah jenis tersebut dan menyekat sama sekali penulisan papan-papan tanda dalam bahasa-bahasa itu) kelak bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan maka kita harus merombak Perlembagaan tersebut demi kepentingan rakyat dan negara” kerana “the ban on questioning the existence of Articles 152, 153 or 181 of the Federal Constitution is made absolute by paragraph (c) of section 3(2) of the Sedition Act” (“pengharaman ke atas mempersoalkan kewujudan Perkara-Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan dijadikan mutlak oleh perenggan (c) seksyen 3(2) Akta Hasutan”).

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan seorang pakar perundangan perlembagaan negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, antaranya ialah di dalam wawancara beliau dengan Shahanaaz Habib yang disiarkan oleh akhbar The Star milik MCA pada 5 Mei 2013 (bertajuk “GE13: No Need For Two-Thirds To Govern”) bahawa sekolah vernakular adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan penuh beliau adalah berbunyi: “The fact that you have in this country Chinese and Tamil schools too is remarkable. The Chinese and Tamil schools are actually not protected under the constitution… I’ve heard Chinese say that Chinese education is non-negotiable. I am fascinated by that. It’s not in the constitution” (“Hakikat bahawa terdapat sekolah-sekolah Cina dan Tamil di negara ini juga adalah luar biasa. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil sebenarnya adalah tidak dilindungi di bawah perlembagaan… Saya pernah mendengar orang-orang Cina menyebut bahawa pendidikan Cina adalah tidak boleh dirundingkan. Saya terpesona dengannya. Ia tiada di dalam perlembagaan”).

Sebab itulah ramai tokoh politik dan tokoh pendidikan negara, termasuklah Tan Sri Abdul Rahman Arshad, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, telah turut pernah membuat desakan sama tanpa dikenakan sebarang tindakan pun.

Adalah memalukan untuk seorang pemimpin tinggi DAP yang juga memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengetahui perkara asas dalam perlembagaan negara seperti ini.

UCAPAN MARK KODING SEWAKTU MENJUNJUNG TITAH UCAPAN DIRAJA DI DALAM SIDANG DEWAN RAKYAT PADA 11 OKTOBER 1978

“Tuan Yang di-Pertua, masanya sudah tiba bagi Dewan yang mulia ini untuk memutuskan sama ada kita akan terus membenarkan sekolah-sekolah China dan Tamil dan bahasa-bahasa tersebut di papan-papan tanda di jalan-jalan raya di negeri itu. Saya seratus peratus berpendapat bahawa kita harus menutup sekolah-sekolah jenis tersebut dan menyekat sama sekali penulisan papan-papan tanda dalam bahasa-bahasa itu. Sekiranya tindakan-tindakan ini kelak bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan maka kita harus merombak Perlembagaan tersebut demi kepentingan rakyat dan negara. Kalau kita gagal melakukan hakikat ini bermakna kita menghampakan amanah yang diamanatkan oleh rakyat dan juga melenyapkan harapan dan aspirasi generasi baru kita yang tidak mahu melihat negara mereka dicap oleh identiti orang asing. Adakah kita mahu mewujudkan identiti kita atas asas kemelayuan, kechinaan atau keindiaan? Saya rasa sudah pasti kemelayuan atau kebumiputeraan kerana tidak ada alternatif yang lain demi survival negara kita. Kalau langkah-langkah ini juga ditentang dengan bertopengkan demokrasi kita haruslah menginsafi bahawa penyakit yang kita alami sekarang ini adalah berpunca daripada demokrasi. Rakyat telah jemu dengan patriotism yang berpura-pura. The democratic government is government by public opinion—the majority public opinion. Pendapat majoriti daripada rakyat hari ini ialah untuk menutup sekolah-sekolah aliran China dan Tamil dan juga penggunaan bahasa-bahasa itu di papan-papan tanda.”

Dr. Kamarul Yusoff

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!