Bangsa DAP perlu dikalahkan – Mohd Amar

Pas yakin kerjasamanya dengan UMNO bakal menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kebimbangan kehilangan kerusi inilah yang menjadi faktor utama PH khususnya DAP takut dan mahu menggagalkan kerjasama antara dua parti Melayu dan Islam itu.

Beliau berkata, banyak kerusi dimenangi PH dalam PRU-14 adalah di kawasan yang mempunyai pertembungan tiga penjuru tetapi keadaan tentu berbeza apabila Pas dan UMNO bekerjasama.

“Kita bukan bercakap tentang memerintah Malaysia tetapi tentang (menang) kerusi dahulu, memerintah Malaysia itu isu yang kedua.

“Dalam kiraan kita, tidak kurang 20 kerusi yang dimenangi PH dahulu adalah kerana pertembungan tiga penjuru, jadi kalau lawan satu sama satu, kemungkinan besar kerusi ini akan terlepas daripada PH dan mengecilkan peluang mereka menjadi kerajaan.

“PH mesti dikalahkan kerana dalam setahun ini banyak benda menimbulkan keresahan terutama agenda politik DAP, bukan bangsa Cina, bukan bangsa India tetapi DAP, kalau kita guna bahasa kasar bangsa DAP, ini adalah masalah yang kita hadapi di Malaysia hari ini dengan politik perkauman dan politik mahu jadi ketua mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Melahirkan Generasi Fatimah Az Zahra’ di Forum Muslimah Muda Antarabangsa (ALYOUM) anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa) di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi.

Kira-kira 500 peserta termasuk dari Palestin, Thailand dan Indonesia menyertai program ALYOUM yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) yang bermula hari ini sehingga 27 Jun ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker