Memo dakwa pemimpin PKR Perlis ketagih ketum dihantar pada Anwar

Share


Seorang pemimpin PKR Perlis kini terpalit dakwaan salah guna ketum, menyebabkan kepimpinannya dipertikai dan diadukan kepada Presiden Anwar Ibrahim.

Ketidakpuasan hati itu disuarakan oleh sekumpulan pemimpin cabang Padang Besar melalui memorandum bertarikh 24 Mei, antaranya melibatkan timbalan ketua cabang Wan Mohamad Fishaal Wan Daud.

Menurut sumber-sumber, salinannya diberikan kepada beberapa pemimpin kanan PKR, termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan naib-naib presiden – Zuraida Kamarudin, Xavier Jayakumar dan Tian Chua.

Wan Mohamad Fishaal bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas lanjut berkaitan bantahan mereka terhadap pemimpin kontroversi itu.

“Kita tidak hantar (memorandum) ke you (awak), kita hantar dekat presiden dan timbalan presiden PKR.

“Saya tidak mahu komen. Maaf,” katanya ringkas.

Menurut sumber-sumber, memorandum lapan halaman itu antaranya mendakwa mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin itu dan mendakwanya sebagai “penagih tegar air ketum”.

Turut dipertikaikan berkaitan pemecatan beberapa anggota parti. Pemimpin itu juga didakwa gagal mendekati pengundi.

Malaysiakini gagal menghubungi pemimpin itu untuk mendapatkan penjelasannya.

Usaha mendapatkan perkembngan status siasatan terhadap dakwaan itu melalui setiausaha agung PKR juga setakat ini belum berhasil.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi PKR negeri.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *