Lucut Jawatan Timbalan Menteri Ultra KIASU!

Share


Ultra kiasu sangat licik. Buat kerja dalam diam, seperti diam-diam ubi berisi, bukan macam kita diam-diam besi berkarat, sindir pendakwah bebas, Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang cuba mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan apabila meminta pandangan daripada bukan Islam untuk menambah baik silibus subjek berkenaan.

Nie Ching menerusi hantaran di Facebook, mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman netizen, hantaran berkenaan telah dipadam dan digantikan dengan kenyataan kekesalan, kononnya pengumuman berkenaan disalah tafsir.

Menyelar tindakan itu, Ridhuan Tee menegaskan, menteri ultra kiasu ini tidak layak berada di Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, apa yang bukan Islam tahu mengenai Islam, jika mereka tidak pernah ambil tahu mengenai agama Persekutuan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan.

“Tidakkah sepatutnya bukan Islam wajib tahu sebab ia agama negara merentasi agama dan bangsa lain selain Islam. Apabila kita minta mereka mengkaji dan cuba memahami Islam bagi mengeratkan hubungan dengan rakyat majoriti, ultra kiasu begitu kuat menentang.

“Mereka lebih rela dan terlalu suka belajar lebih banyak sejarah Tanah Besar China daripada sejarah Islam dan sejarah Tanah Melayu. Apa yang kita boleh harapkan mereka untuk memberikan input kepada subjek Pendidikan Islam? Sudah tentu keadaan akan menjadi lebih gawat.

“Cuba bayangkan jika kita memandai-mandai campur tangan dalan pendidikan agama Buddha, Hindu dan Kristian. Heboh satu dunia? Mereka akan kata macam-macam? Apakah kita lupa bagaimana rakan kita, Firdaus Wong yang menjual buku berkaitan pandangan Islam terhadap agama Hindu, bagaimana gerombolan penganut Hindu ‘menyerang’ beliau?” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Nie Ching disingkirkan sebelum terlambat dan digantikan dengan mereka yang kurang ultra kiasu, makna kata mereka yang boleh diterima rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Ridhuan Tee tidak menafikan PPKPI ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dengan keahlian majlis itu dilantik menteri pendidikan, bertujuan baik.

Bagaimanapun Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengingatkan Nie Ching supaya tidak berlebih-lebih sehingga mempelawa bukan Islam mencampuri hal ehwal Islam.

“Saya setuju bukan Islam boleh dipelawa memberi input dalam subjek Pendidikan Islam, dengan syarat mereka mesti diwajibkan belajar dan mengambil subjek mengenai agama Islam. Bila mereka faham Islam, sangat dialu-alukan, itu pun dalam batas-batas tertentu sebab tidak sampai peringkat pakar.

“Jika dipaksa kepada mereka belajar Islam dan mengambil subjek ini, saya kira ia masih adil dan tidak menindas, sebab agama Islam adalah agama negara, agama Persekutuan yang sepatutnya difahami semua rakyat, sama seperti rakyat Siam yang perlu menghormati agama Buddha di Thailand, walaupun mereka beragama Islam.

“Islam menjadi minoriti dalam negara majoriti bukan Islam, kenalah faham agama dan budaya majoriti meskipun bukan Islam. Bukan begitu ultra kiasu. Namun jika terus berkeras dan menentang, eloklah sila angat kaki,” katanya.

ISMAWeb



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *