Anwar, keluarga dilihat kemaruk kuasa – PPBM Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya dilihat kemaruk kuasa apabila gesaan agar Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri ditolak, tetapi pada masa sama, tekanan dibuat ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mengumumkan segera tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Malah, alasan diberikan Wan Azizah serta kepemimpinan PKR bahawa isu gesaan melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sudah dipersetujui dalam konvensyen Pakatan Harapan (PH) juga dianggap dwi-standard kerana semasa penyokong Anwar terus-menerus mendesak Dr. Mahathir, alasan itu tidak pula terpakai.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd. Shaid Rosli, yang tampil membuat gesaan supaya Wan Azizah berundur kelmarin berkata, jika benar Anwar dan Wan Azizah menghormati konvensyen PH, mereka pastinya sudah memberi teguran keras kepada penyokongnya tetapi apa yang berlaku, umpama baling batu sembunyi tangan.

“Ia kedengaran kasar (kemaruk kuasa) tapi dia (Wan Azizah) tahu Presiden PKR suaminya, berilah laluan kepada Anwar. Dulu pun dia pernah kata nak tumpu kepada keluarga dan cucu semasa beri laluan kepada Anwar bertanding di Permatang Pauh, tetapi kemudian masuk politik semula.



“Sekarang ini Anwar sudah keluar (bebas dari penjara dengan diberi pengampunan diraja). Sepatutnya dia letak jawatanlah, beri laluan kepada Anwar jadi Timbalan Perdana Menteri dulu dan kalau ada rezeki dia jadi Perdana Menteri, kalau dia sendiri tidak mahu lepas jawatan dan penyokong pula desak Dr. Mahathir, ini semua kita boleh anggap kemaruk kuasalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin Mohd. Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, ‘membeli’ desakan penyokong Anwar yang menuntut tarikh peralihan kuasa diumumkan segera dengan menggesa Wan Azizah perlu berundur terlebih dahulu kerana jika tidak, ia dilihat sebagai perbuatan kronisme selain bertentangan dengan konsep Malaysia baharu PH.

Wan Azizah dalam reaksi segeranya berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga Anwar mengambil alih kepimpinan negara daripada Dr. Mahathir dengan alasan sudah ada perjanjian sebelum ini. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker