Meremehkan Pandangan Agama

Share

BEBERAPA minggu lalu, saya melihat dengan penuh minat serangan dan kritikan keras sekumpulan pengguna Twitter terhadap Dr Fathul Bari Mat Jahya mengenai isu homoseksual atau LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Ia berpunca daripada status media sosial Dr Fathul yang menyeru pemboikotan satu jenama pakaian agak terkenal. Kumpulan jenama itu menyumbang 10 peratus hasil jualan kepada dana pro-LGBT.

Walaupun kempen itu menyebabkan syarikat tersebut mengeluarkan komitmen hasil jualan di Malaysia daripada dana terbabit, namun respons ramai anak muda beragama Islam di Twitter sangat mengejutkan.


Mereka menyerang Dr Fathul dengan pelbagai gelaran dan kritikan keras seolah-olah komen negatif terhadap kumpulan LGBT ini adalah satu kesalahan.

Takdir ALLAH, muncul pula isu lebih panas apabila seorang mirip menteri kanan dituduh mengamalkan seks luar tabii sesama lelaki. Sama ada benar atau tidak tuduhan, rakaman video dan pengakuan individu yang terbabit akan diputuskan kemudian.

Namun yang menarik untuk dianalisis adalah keupayaan sebahagian orang Islam meremehkan pandangan agama mengenai perbuatan ini.
Dua golongan


Dalam kedua-dua kes ini, ada dua kelompok Muslim. Pertama, golongan muda yang telah lama terpengaruh dengan idea liberal Barat tetapi kurang pengetahuan agama Islam.

Mereka menganggap isu LGBT adalah isu peribadi yang tidak perlu menerima campur tangan undang-undang dan agama Islam. Mereka membentuk terma atau slanga popular di media sosial Malaysia hari ini iaitu libertard (liberalis retarded) – golongan liberalis yang jahil. Kumpulan ini akan cuba mencari persamaan antara idea-idea kebebasan barat dengan Islam. Bagi mereka Islam harus selari dengan idea Barat untuk kelihatan cool dan sesuai dengan zaman. Sekiranya Islam mengecam keras golongan LGBT, mereka memetik ayat al-Quran yang menganjurkan kasih sayang sesama manusia sebagai alasan untuk bertolak-ansur dan menerima kewujudan golongan ini tanpa sebarang teguran dan kritikan.

Malah ada yang sampai menyatakan penemuan terbaru menunjukkan LGBT adalah satu penyakit bukannya dosa. Alasan-alasan sebegini menafikan keunggulan dan kesempurnaan al-Quran sebagai wahyu ALLAH dan the final revelation. Bukan sahaja al-Quran, kitab-kitab tauhid agama Kristian dan Yahudi yang asli juga melarang keras perbuatan ini.


Golongan kedua ialah kumpulan politik yang melencongkan isu asal laknat ALLAH terhadap budaya seks sejenis kepada isu lain.Antara hujah berbahaya ialah mereka mendakwa seks sejenis adalah isu peribadi. Maka mereka menyebarkan idea lebih baik melantik pemimpin terpalit skandal homoseksual berbanding mereka yang terpalit isu rasuah.

Hujah ini sangat meloyakan seolah-olah di Malaysia ini hanya tinggal dua jenis pemimpin Islam, sama ada ambil rasuah atau melakukan seks sejenis. Ada juga ilmuwan Islam yang pro-individu terbabit mula berhujah melunakkan dosa homoseksual ini dan melencongkannya kepada isu qazaf dan kesalahan mendedahkan aib. Sedikit demi sedikit mereka termasuk ke perangkap kumpulan LGBT.

Mereka sendiri melunakkan amaran ALLAH mengenai kesalahan homoseksual. Mereka sendiri mula meyakinkan umat Islam lain terutama generasi muda bahawa budaya seks sejenis ini tidak mengapa dan boleh ditolak-ansur.

Sedikit demi sedikit orang Islam di negara ini bertolak-ansur dengan larangan ALLAH sedangkan kemurkaan ALLAH terhadap kumpulan ini jelas dalam surah al-A’raf (80-84): Dan Nabi Lut (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?”Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Dan tidak ada jawab daripada kaumnya selain berkata: “Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) menyucikan diri.

“Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia daripada orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan).”

Lihatlah akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. Ingatlah selain perbuatan syirik dan membunuh, perbuatan seks sejenis adalah antara perkara dilaknat ALLAH sehingga diturunkan bala kepada umat Nabi Luth AS.

Ab Jalil Backer
Sinar Harian
17/6/2019

Leave a Reply