MAHATHIR AKHIRNYA BUAT U-TURN BERKENAAN MELAYU MALAS

Semalam di Cambridge apabila ditanya berkenaan Melayu malas, Dr. Mahathir yang selama ini seumur hidupnya mengatakan orang-orang Melayu malas telah membuat U-turn.

Kini dia mengatakan sebaliknya bahawa masih ramai lagi Melayu rajin dan ungkapan Melayu malas adalah satu ungkapan pukul rata yang diambilnya daripada penjajah British dahulu.

Saya banyak membuat kritikan sebelum ini berkenaan ideologi Melayu malas Dr. Mahathir ini yang mana saya berfikir bahawa ideologi Dr. Mahathir yang sebeginilah yang telah memburukkan masalah prejudis dan menerukkan diskriminasi terhadap orang-orang Melayu di Malaysia selama ini.

Dalam sejarah dunia penjajah memang selalu menyebarkan propaganda untuk memperlekeh-lekehkan sesuatu kaum yang dijajahnya supaya kaum tersebut lemah pemikirannya serta takut menentang penjajah apabila mereka percaya yang pihak penjajah itu lebih kuat dan berkuasa.

Di Afrika Selatan 50 tahun dahulu, propaganda yang sama berlaku di zaman pemerintahan Apartheid kulit putih terhadap majoriti kulit hitam.

Banyak penulisan dan kajian telah dibuat berkenaan hal ini.

Di Amerika Syarikat 200 tahun dahulu orang-orang kulit putih mengatakan yang orang-orang kulit hitam adalah pemalas dan hamba-hamba abdi kulit hitam tidak layak untuk menjadi askar yang bebas kerana mereka dilahirkan pengecut.

Propaganda-propaganda seperti ini tidak benar dan berniat jahat untuk melemahkan pemikiran kaum yang dijajah atau dikuasai.

Sebab itu dahulu saya pernah bertanya mengapa Dr. Mahathir yang bijak pandai boleh percaya kepada propaganda penjajah British malah meneruskan propaganda tersebut?

Propaganda seperti ini tidak akan tiba-tiba kononnya menyedarkan orang-orang Melayu supaya menjadi rajin sebaliknya akan melemahkan lagi mereka.

Ungkapan biasa Dr. Mahathir: Apabila mereka tidak dapat kerja: Melayu malas. Apabila gaji mereka rendah: Melayu malas. Apabila mereka tidak berjaya dalam perniagaan: Melayu malas. Semuanya Mahathir menyalahkan orang Melayu tetapi tidak dirinya dan dasar-dasarnya.

Sebenarnya orang-orang Melayu tidak malas namun mereka telah didiskriminasi sebab prejudis terhadap mereka selama ini.

Sebab itu kini di pasaran kerja swasta hanya 4 peratus sahaja graduan Melayu yang memohon kerja dipanggil temuduga berbanding 28 peratus untuk suatu kaum lain.

Jika orang-orang Melayu betul malas, masakan ada anak-anak Melayu yang berjaya mendapat tempat pertama, kelima dan keenam dalam peperiksaan di peringkat dunia seperti Wan Nur Mafudah Wan Yusof, Siti Aisah Kamarulzaman dan Nurul Nabilah Abdul Jalil dari UiTM?

Dan Dr. Amalina Che Bakri yang menjadi doktor pelatih pakar bedah antara terbaik di London?

Tiada orang malas boleh mencapai kejayaan-kejayaan di atas walau sepandai mana mereka itu.

Dan saya kenal ramai orang Melayu yang membuat dua atau lebih kerja sehari selama lebih 10 jam untuk mencari sesuap nasi dan menyara keluarga.

Nampaknya kini Dr. Mahathir terpaksa U-turn sebab beliau sedar bahawa beliau tidak lagi mendapat sokongan orang-orang Melayu seperti dahulu dan propaganda Melayu malas untuk melemahkan pemikiran mereka tidak lagi berkesan.

Atau di Cambridge kepala beliau sibuk memikirkan bagaimana untuk menunjukkan yang Azmin tidak bersalah dalam skandal seks yang dikaitkan dengannya dan menidakkan Anwar untuk menjadi PM ke-8 lalu tidak ada masa untuk memutar belit isu lain.

Namun orang-orang Melayu bukan sahaja tidak malas malah sudah bijak memikir dan tidak lagi mudah ditipu.

PAGE FB: ISHAM JALIL
17 Jun 2019

Related Articles

One Comment

  1. Madey ni…. apa pun yang dia cakap tak boleh pakai, sejak kebelakangan ni. Dia bukan Melayu….. itu sebab dia boleh cakap “MELAYU MALAS”……

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker