ISU QAZAF: MUFTI PATUT LEBIH BERANI

Saya tertarik dengan catatan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, yang menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu “video yang mengaitkan seorang lelaki dengan seseorang yang didakwa sebagai menteri kabinet”.

Catat beliau, seawal tersebarnya video tersebut, hati beliau amat gusar kerana terfikirkan 1001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ini dek sebaran video berkenaan, lantas mendorong beliau menulis satu panduan kepada umat Islam di Malaysia.

Salah satu daripada artikel Bayan Linnas beliau ialah “Bayan Linnas Siri Ke 183: Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?” yang boleh dibaca di sini: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3484-bayan-linnas-siri-ke-183-isu-qazaf-adakah-termasuk-tuduhan-liwat

Mufti Wilayah Persekutuan patut dipuji kerana tegas dalam memberikan hukum qazaf.

Sebut beliau: “Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya.”

Tambah beliau: “Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. Surah al-Nur (4)”

Mufti Wilayah Persekutuan patut dipuji kerana tegas dalam memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf.

Hurai beliau: “Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh. Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):
وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأَِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ
“Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.”
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah al-Tolibin (10/90):
قَوْلُنَا: إِيلَاجُ الْفَرَجِ فِي الْفَرْجِ، يَدْخُلُ فِيهِ اللِّوَاطُ، وَهُوَ مِنَ الْفَوَاحِشِ الْكَبَائِرِ، فَإِنْ لَاطَ بِذَكَرٍ، فَفِي عُقُوبَةِ الْفَاعِلِ قَوْلَانِ، أَظْهَرُهُمَا: أَنَّ حَدَّهُ حَدُّ الزِّنَا، فَيُرْجَمُ إِنْ كَانَ مُحْصَنًا، وَيُجْلَدُ وَيُغَرَّبُ إِنْ لَمْ يَكُنْ مُحْصَنًا،
“Pendapat kami (mazhab Syafie): tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat; pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau dirotan serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan.”
Beliau berkata jua:
إِذَا رَمَى بِالْإِصَابَةِ فِي الدُّبُرِ، كَقَوْلِهِ: لُطْتِ أَوْ لَاطَ بِكِ فُلَانٌ، فَهُوَ قَذْفٌ، سَوَاءٌ خُوطِبَ بِهِ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ
“Jika seseorang menuduh seseorang mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Kamu telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau.”, maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita.” Rujuk Raudhah al-Tolibin (8/311)”

Begitupun, perbincangan beliau terus sahaja mendatar bila ia membabitkan “Qazaf Liwat Menurut Undang-Undang Syariah Di Malaysia”.

Sebut beliau: “Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa “kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.”

Dimasukkan sebagai nota kaki kemudiannya: “Berdasarkan kes-kes yang diputuskan sebelum ini, Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor enggan menerima tafsiran bahawa tuduhan liwat untuk dimasukkan di bawah kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41. Ini kerana menurut para hakim Syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja, dan tidak memasukkan perbuatan liwat. Justeru, pihak Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes qazaf melibatkan tuduhan liwat.”

Pada hemat saya, Mufti Wilayah Persekutuan patut lebih berani untuk:
(1) Menyatakan bahawa Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan kebanyakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri lain tidak menepati kehendak syarak kerana tidak memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf.
(2) Menyatakan bahawa Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan semua Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri lain, termasuk Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf, menghukum qazaf dengan hukuman yang tidak menepati kehendak syarak.
(3) Menyatakan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (2015) adalah contoh enakmen yang menepati kehendak syarak dalam isu qazaf kerana memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf dan menghukum qazaf dengan hukuman yang menepati kehendak syarak.
(4) Mendesak supaya Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan semua Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri lain diseragamkan bagi memasukkan tuduhan liwat ke dalam qazaf.
(5) Mendesak supaya bidang kuasa jenayah mahkamah syariah diperluaskan melalui pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan qazaf dihukum dengan hukuman yang menepati kehendak syarak.

Perlu diingat bahawa panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan prosiding qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 5 Disember 2016 dan untuk memulakan prosiding qazaf terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 5 Jun 2017 adalah diketuai oleh seorang hakim yang sama, iaitu Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh.

Dalam kes pada 5 Disember 2016 Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup disertai oleh Hakim-Hakim Datuk Yusof Musa dan Mohd Amran Mat Zain manakala dalam kes pada 5 Jun 2017 Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup disertai oleh Hakim-Hakim Datuk Aidi Moktar dan Datuk Mukhyuddin Ibrahim yang bersetuju sebulat suara dengan beliau.

Ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah pada 5 Jun 2017, Hakim Datuk Seri Dr Md Yusup dilaporkan “meminta pemerintah dan badan perundangan negeri meminda Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat dituduh di mahkamah.”

Permintaan supaya pemerintah dan badan perundangan negeri meminda Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan semua Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri lain) ini dibuat pada Jun 2017, sekarang sudah Jun 2019, mengapa masih tiada apa-apa berlaku?

Mengapa Mufti (dan pihak-pihak lain juga) tidak berani menyebut perkara ini?

Dan apa pula faedah Hilman Idham membuat laporan qazaf di Pejabat JAWI?

FB: Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker