Kemenangan PH tragedi menyedihkan Islam

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu merupakan satu tragedi yang menyedihkan buat Islam dan penganutnya.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh berkata, negara dipimpin oleh pemerintah yang tidak menampakkan kesungguhan menepati janji dan tawaran apatah lagi bersatu hati mempertahankan kedudukan Islam yang utuh termaktub dalam Perlembagaan.

“Di antara hasil post-mortem pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kita mendapati faktor serangan media sosial menyumbang kepada peratusan tertinggi (75 peratus) yang membawa kepada kekalahan Pas.

“Saya percaya golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam kepesatan penggunaan media sosial. Kita berkemungkinan terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh muslimat menerusi media sosial hingga tidak merebut peluang dalam lapangan ini dan tidak diberikan peranan serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Ke-59 di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.

Nuridah berkata, kaum wanita turut diheret dalam kancah yang berbahaya antaranya tafsiran bebas dan terbuka terhadap hukum syarak yang berkaitan dengan wanita sehingga timbul pertikaian terhadap isu poligami, faraid, perintah menutup aurat, tuntutan hak untuk murtad, hak talaq kepada suami, perkahwinan sesama jantina dan seks bebas yang bertujuan memesongkan keyakinan terhadap Islam.

“Kita mendapati kerajaan PH terutama pemimpin Islamnya sudah tidak menampakkan sensitiviti mereka dengan hal keadaan yang membimbangkan ini.

“Pelbagai hujah dan alasan sengaja dicipta atas dasar rahmatan lil alamin dan maqasid syariah untuk menyenangkan hati rakan politik mereka yang bukan Islam dalam PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker