TUDUHAN SEKS HAZIQ AZIZ: PERLUNYA MAHKAMAH SYARIAH DIPERKASAKAN

Pengakuan bersumpah Ahli PKR yang juga Ketua AMK Santubong dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Aziz, bahawa beliaulah “individu bersama Azmin Ali dalam video yang telah viral semalam” sepatutnya menyedarkan kita kepada betapa pentingnya usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah dihidupkan kembali.

Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina adalah satu kesalahan jenayah yang hukumannya sudah ditetapkan oleh syarak selaras dengan Firman Allah SWT dalam Ayat 4 Surah al-Nur yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.”

Begitupun, disebabkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah hanya kepada hukuman penjara selama tiga tahun, denda sebanyak RM5000 dan sebatan sebanyak enam kali sahaja maka hukuman 80 kali sebatan ke atas orang-orang yang melemparkan tuduhan zina ini tidak dapat dibuat.

Lebih malang lagi, selain pengenaan hukuman yang tidak selari dengan kehendak syarak, terdapat ketidakseragaman yang nyata dalam penjenayahan qazaf mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), ada negeri yang langsung tidak mempunyai peruntukan ke atasnya.

Paling menonjol adalah bila Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Seksyen 81A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995, Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996, Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan Seksyen 38 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak 2001 memperuntukkan bahawa qazaf hanya merangkumi tuduhan zina tetapi tidak meliputi tuduhan liwat.

Sebab itulah Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal untuk memulakan prosiding qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan bila Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan pada 14 April 2010 dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan pada 5 Disember 2016 bahawa liwat tidak termasuk dalam qazaf mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Begitu juga dengan cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan prosiding qazaf terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 27 Oktober 2016 dan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pada 5 Jun 2017 yang memutuskan liwat tidak termasuk dalam qazaf mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Ini berbeza dengan Seksyen 37 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang mendefinisikan qazaf sebagai “mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu” mahupun dengan Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013 yang meletakkannya dalam peruntukan umum berbunyi “mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan maksiat tanpa bukti mengikut Hukum Syarak atau iqrar orang yang dituduh itu”.

Semoga kemelut yang muncul sehubungan dengan isu tuduhan seks Haziq Aziz ini akan membawa kebaikan yang tersembunyi kepada umat Islam di dalam erti kata ia akan menggerakkan kembali usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah bagi membolehkan tuduhan begini, mahupun kesalahan jenayah syariah lain, dapat ditangani dengan lebih berkesan selaras dengan kehendak syarak.

FB: Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker