Angkara siapa?

APABILA tersebarnya video Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin di dalam aksi di ranjang bersama seorang lelaki mirip menteri didakwa dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, semua tertanya-tanya siapakah yang punya angkara?

Bagi mereka yang telah melihat video berkenaan pasti sedar rakaman itu telah dirancangkan berdasarkan posisi yang dipilih dan televisyen dibuka bagi dijadikan sumber cahaya apabila lampu bilik dipadam.

Pihak yang paling disyaki memasang perangkap tersebut adalah para pemimpin pembangkang kerana motifnya sudah pastinya mahu memalukan kerajaan hari ini apabila ada dalam kalangan menteri Kabinet terlibat dengan gejala seks songsang. Lebih menyedihkan lagi ia berlaku di bulan Ramadan.

Lebih khusus ia mungkin dilakukan oleh orang UMNO kerana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah jatuh akibat perangkap yang sama.

Bagaimanapun faedahnya juga bergantung kepada para pemimpin UMNO untuk memainkan peranan supaya memberi kelebihan kepada mereka dan menimbulkan keraguan serta menjejaskan kredibiliti kerajaan hari ini.

Namun melihat di aspek lain adalah tidak logik juga UMNO untuk menggunakan taktik tersebut kerana ia bukan waktu yang strategik kerana tiada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, kecuali pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

UMNO sendiri kini sedang berdepan dengan masalah untuk dan perlu memperkukuhkan parti sebelum menghadapi pilihan raya umum setidak-tidaknya empat tahun lagi. Tempoh berkenaan tidak lama dan walaupun UMNO telah berjaya menyisihkan toksik di dalam parti, tetapi mereka bakal berdepan perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin tertinggi.

Kemungkinan kedua ia dilakukan oleh pemimpin PKR yang menganggap menteri berkenaan sebagai penghalang kepada cita-cita besar mereka iaitu untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tempoh setahun lagi sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam Pakatan Harapan.

Menteri berkenaan dikhuatiri menjadi insan terpilih bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.

Calon ketiga yang juga tidak harus diketepikan sebagai orang yang disyaki ialah pemimpin Bersatu yang mahu mengebom PKR yang dilihat terlalu mendesak supaya Dr. Mahathir turun dan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Pengeboman itu menjadikan menteri berkenaan sebagai mangsa dan orang di sekeliling sebagai korban yang tidak dapat dielakkan. Matlamatnya untuk menghancurkan PKR apabila barisan kepemimpinan yang mendokong Anwar dilihat mempunyai masalah moral yang sekali gus tidak layak untuk memimpin negara.

Bagaimanapun daripada ketiga-tiga suspek itu yang paling mendapat faedah besar adalah UMNO. Katakanlah bukan mereka yang terbabit di dalam konspirasi ini, tetapi mereka bijak menggunakan kesempatan ini ia akan tetap memberi manfaat besar kepada mereka.

Seperkara yang dilihat sangat mengejutkan adalah apabila suspek yang terlibat dalam adegan lucah itu tampil tanpa rasa malu membuat pengakuan sehingga ramai yang menganggap dia tidak langsung memikirkan soal maruah diri dan keluarga.

Jika sikap sebegini berleluasa di dalam masyarakat ia sangat membimbangkan apabila seseorang tidak lagi rasa malu dengan perbuatan tidak bermoralnya apatah lagi mereka adalah dalam kalangan pemimpin yang mempunyai pengikut serta menjadi ikutan.

Dari satu sisi lagi pihak berkuasa termasuk polis dan jabatan agama kini berdepan dengan cabaran untuk mengambil tindakan segera serta telus kerana secara terang-terangan pesalah telah mengaku perbuatannya di khalayak. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker