Persatuan Usahawan Alumni UiTM tolak pelantikan Vivy

Share


Persatuan Usahawan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) menolak sekeras-kerasnya pelantikan usahawan e-dagang terkemuka, Datin Vivy Yusof sebagai satu daripada Ahli Lembaga Pengarah baharu universiti tersebut.

Wakil persatuan tersebut, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pengasas bersama The dUCk Group itu tidak layak dilantik memegang jawatan tersebut kerana beliau bukan daripada kalangan alumni UiTM.

“Hanya alumni UiTM yang akan memahami perjalanan dan dasar universiti ini, selain Vivy terlalu muda untuk dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

“Peranan Ahli Lembaga Pengarah UiTM adalah menentukan hala tuju dan dasar universiti yang jelas semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Muzakkir, sepatutnya Ahli Lembaga Pengarah UiTM biarlah terdiri daripada alumni yang ‘senior’ dan mempunyai pengalaman luar dan dalam kerjaya dunia penyelidikan, kedoktoran, perniagaan, kewartawanan, kejuruteraan serta kewangan.

Kata beliau, kebih kurang 60 peratus pelajar UiTM merupakan golongon miskin, justeru hanya mereka yang boleh memahami cara kehidupan mahasiswa seperti kemudahan makanan, bantuan kewangan dan lain-lain.

“Rata-rata di dalam media sosial, alumni UiTM tidak bersetuju dengan pelantikan Vivy kerana seolah-olah 800,000 alumni universiti ini tidak langsung layak untuk duduk di kerusi Ahli Lembaga Pengarah UiTM,” katanya.

Kelmarin, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus, Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataan berkata, pelantikan Vivy sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu universiti tersebut dijangka menyuntik idea baharu untuk menggalakkan keusahawanan dengan lebih berkesan dalam kalangan mahasiswanya.

Katanya, sebagai Ketua Pegawai Kreatif di FashionValet, sebuah syarikat e-dagang fesyen, dan juga pengasas bersama The dUCk Group, sebuah jenama terkemuka dalam industri pakaian muslimah, Vivy dianggap amat peka dengan kehendak dan permintaan golongan milenium. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *