Enggan bersalam : Mukhriz dituntut mohon maaf kepada Sultan Johor (Video)

Kelakuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah di Pekan, Pahang semalam, disifatkan sebagai satu tindakan yang biadab.

Video menunjukkan Mukhriz enggan menghulur tangan dan bersalaman dengan Sultan Johor dan terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim berdurasi 14 saat turut tular dalam media sosial.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan Mukhriz itu bukan sahaja biadab tetapi turut hilang etika kemelayuan apabila berbuat demikian.

Malah, katanya, sifat kebudak-budakan dan tidak berakhlak Mukhriz itu juga tidak menggambarkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar.

“Di sebalik ketenangan dan kesyahduan majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah, Mukhriz dilihat bertindak biadab dan hilang etika kemelayuannya malah tindakan beliau itu juga tidak menghormati Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Pemuda UMNO negeri menuntut agar Mukhriz memohon maaf kepada Sultan Johor atas tindakan beliau kerana rakyat Johor sama sekali tidak dapat menerima budaya buruk seperti yang dibawa oleh anak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Pada masa sama, Mohd. Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor turut merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh keluarga kerabat diraja dan buat seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah. – UTUSAN ONLINE.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker