PH Tersepit Antara Tunai Janji Yang Tak Munasabah Dengan Realiti Sebenar PTPTN

Share

Pada hemat saya, Kerajaan PH sedang mencari alasan mahu melaksanakan “beberapa pendekatan yang mereka tentang” sebelum ini setelah menyedari realiti dan kedudukan sebenar bila mengambilalih PTPTN.

Sekarang mereka baru menyedari banyak pendekatan BN dulu adalah tepat. Namun kerana terikat dengan janji tidak munasabah yang ditabur, ia menjadi sukar pada PH.

2. Ketika ini, PH hanya menyambung sahaja apa yang BN laksana dahulu. Masih tidak ada sesuatu pembaharuan PH lakukan kecuali menghapuskan sekatan imigresen yang realitinya menjadi antara punca kutipan balik PTPTN merosot.

Apapun sepertimana Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), mereka cuba mencipta naratif dengan mendakwa betapa teruknya polisi dan dasar PTPTN dahulu dan akhirnya mahu muncul sebagai jaguh menyelesaikan masalah PTPTN. Naratif ini mudah dibaca.

3. Saya adalah Pengerusi PTPTN (2013 – 2018) iaitu selepas PRU 13. Dalam tahun 2013, iaitu sebelum dan selepas PRU13. Saya masih ingat apabila aliran kewangan PTPTN ketika itu menjadi begitu teruk.

Ramai peminjam terpengaruh apabila dalam kempen PRU13, PKR dan pembangkang yang lain melalui tokoh mereka seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan ramai lagi berjanji untuk hapuskan hutang .

4. Kesannya, ramai terpesona. Mereka tidak mahu membayar hutang pinjaman dalam tempoh itu kerana percaya PTPTN akan dihapuskan.

PTPTN dijadikan modal politik bagi menarik sokongan anak muda. Akibatnya kutipan jatuh dan PTPTN berjaya mengutip pinjaman hanya sekitar RM50 juta sebulan, iaitu sekitar RM600 – RM700 Juta sahaja setahun. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada aliran kewangan PTPTN.

5. Akibat dana tidak cukup, PTPTN terpaksa mengambil langkah drastik. Langkah ini diakui tidak popular tetapi penting kepada kelastrian PTPTN. PTPTN, terpaksa membuat potongan jumlah pinjaman sebanyak 5% kepada pelajar ke IPTA dan 15% pinjaman pelajar ke IPTS. Kemudian untuk jumlah pinjaman terpaksa meletakkan syarat tertentu kepada peminjam.

Malah PTPTN memulakan tindakan CRISS ketika itu. Langkah ini dibuat kesan kutipan yang rendah, dan puncanya turut disumbangkan oleh pembangkang (Kerajaan PH sekarang) yang tidak bertanggungjawab ketika itu.

6. Kemudian diwaktu itu, PTPTN tingkatkan dan membuat perubahan pentadbiran, perkhidmatan dan sebagainya. PTPTN perkenalkan pelbagai kaedah membuat bayaran balik dengan mudah dan cepat “hanya menggunakan hujung jari“.

Antaranya direct debit dengan diskaun 10% diberikan, potongan gaji juga dengan diskaun 10% diberikan dan 20% kepada yang membayar penuh. Pengeluaran akaun II KWSP, Kaunter ejen bank di seluruh negara (Bank Islam, CIMB Bank, BSN, Bank Rakyat, Pejabat Pos). Jompay dan perbankan internet (maybank2u, cimbclicks, posonline, public bank online) dan banyak lagi.

7. PTPTN juga turut membuka dan menambah cawangan PTPTN di seluruh negara. PTPTN melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi korporat antaranya kerjasama bersama MyClear bagi kemudahan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui jompay dan direct debit online serta AirAsia bagi memperkenalkan kaedah bayaran balik menggunakan BIG Prepaid MasterCard (Kad Prabayar Mastercard BIG), selain itu Program Sahabat kepada agensi swasta dan kerajaan turut dibuat. PTPTN amalkan antaranya “mesra pelanggan” dan konsep ” #Boleh Bincang” dan banyak lagi pendekatan lain. Kesannya jumlah kutipan pinjaman mula meningkat iaitu dari RM0.7Bilion pada 2014 kepada RM1.5 Bilion 2015.

8. PTPTN semasa BN juga, giat mentansformasikan paradigma daripada meminjam kepada menyimpan melalui penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). Kita mahu budaya meminjam di kalangan masyarakat dikurangkan sebaliknya budaya menyimpan iaitu persediaan dan perancangan awal diutamakan, maka 2015 PTPTN telah memperkenalkan pula satu lagi produk baharu iaitu SSPN-i Plus bagi tujuan simpanan demi masa depan pendidikan dengan menawarkan perlindungan takaful yang amat murah dan komprehensif.

Kita mengalakkan rakyat menabung melaksanakan perancangan kewangan ataupun ‘financial planning’ yang baik di PTPTN.

9. Kita waktu itu mahu rakyat melihat PTPTN sebagai TABUNG PENDIDIKAN untuk rakyat Malaysia, sebagaimana Lembaga Tabung Haji dilihat untuk mengerjakan haji dan KWSP dilihat untuk simpanan apabila telah bersara. Maka, sekiranya ingin melihat anak-anak berjaya mendapat pendidikan tinggi, ada PTPTN – TABUNG PENDIDIKAN Anda.

Kesannya, peratusan rakyat gunakan simpanan untuk melanjutkan pelajar menunjukan peningkatan dan positif. Malah, sesuai dengan Revolusi Industri 4.0, PTPTN juga telah bersedia kearah itu. Kita adakan Program Jobmaching dengan industri dan sediakan dana untuk tujuan sempena sambutan 20 tahun PTPTN.

10. Dengan pelbagai usaha PTPTN dibawah BN lakukan, akhirnya jumlah keseluruhan pencapaian bagi kutipan balik dan deposit SSPNi pada tahun 2017 adalah sebanyak RM4.7 bilion.

Malah usaha kita fokuskan tahun 2017 sebagai tahun penabungan, membolehkan pencapaian kutipan bagi deposit SSPNi bagi tahun itu amat memberangsangkan iaitu RM727.40 juta (132.3%) .

11. Pencapaian ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah diperolehi bagi SSPNi. Manakala bagi pembukaan akaun baharu SSPNi juga menunjukkan peningkatan yang ketara bagi tahun 2017 iaitu 447,039 akaun baharu (127.7%).

Semua ini kerana usaha gigih warga PTPTN walaupun cabarannya cukup besar. Realitinya kutipan bulanan PTPTN mula positif dan telah mencecah sekitar RM400 Juta hingga RM490 Juta sebulan . Kerana itulah rekod 2016 kutipan PTPTN mencecah angka RM3.4 Bilion dan pada tahun 2017 RM3.985 Bilion) yang melepasi KPI di tetapkan PTPTN.

12. Namun demikian menjelang PRU14. Pakatan Harapan sekali lagi mempengaruhi rakyat. Mereka janjikan untuk mulakan bayaran balik ditangga gaji RM4 ribu sebulan, pendidikan percuma dan hapuskan sekatan imigresen. Suara suara Rafizi Ramli, Nurul Izah, Azmin Ali dan lain lain termasuk Adam Adli, Syed Sadiq sekali lagi berkumandang dan menjuarai isu ini. Ini menyebabkan ramai tidak membayar pinjaman kerana menanti janji berkenaan.

13. Keadaan ini menyebabkan kutipan menurun pada penghujung 2018 kepada hanya RM3.3 Bilion berbanding sebelumnya dan tidak melepasi sasaran KPI. Tindakan PH melaksanakan penghapusan sekatan imegresen, juga menjadi punca kepada penurunan kutipan balik wang PTPTN.

Semua ini adalah fakta yang sesiapapun tidak boleh menafikannya. Kerajaan PH sekarang bertanggungjawab kepada semua ini kerana hanya mahu populis.

14. Kini, saya rasa, PH mula sedar bahawa banyak langkah BN yang mereka tentang dulu, adalah baik sebenarnya. Langkah, penghapusan sekatan imigresen sangat memberi kesan kepada kutipan balik PTPTN sesuatu yang silap. Malah ia hanya memberikan keuntungan kepada mereka yang mendapat pinjaman.

Perlu difahami PTPTN bukan menerima geran kerajaan. Rekodnya hanya pernah menerima sebanyak RM5.2 Bilion diawal penubuhannya. Kemudian, selepas 2003 PTPTN mula berdikari. Bila berdikari, PTPTN mendapat sumber kewangan daripada; pinjaman PTPTN dari institusi kewangan, Terbitan SUKUK, dan daripada Kutipan Balik Pinjaman. Maka jika kutipan balik menjadi masalah, ia akan menganggu aliran pusingan kewangan PTPTN.

15. Difahamkan, sehingga Februari 2019 PTPTN telah membantu seramai 3.02 juta pelajar dengan jumlah dana sebanyak RM56.0 bilion.

Jumlah ini pasti akan meningkat jika pendekatan yang dibuat dan dirancang oleh BN dulu tidak dilaksana. Manakala, semua janji PH termasuk mula bayar balik ditangga gaji RM4000.00 akan beri kesan kepada penurunaan kutipan.

Jika ini berlaku, pasti secara berterusan PTPTN akan bergantung pada pinjaman dari institusi kewangan untuk diberikan pada pelajar. Sedangkan waktu BN dulu kita sudah mulakan usaha kurangkan kebergantungan kepada institusi kewangan untuk dipinjamkan kepada pelajar.

16. Pinjaman berterusan PTPTN dari institusi kewangan, akan berikan kesan besar pada PTPTN dan negara. Bayangkan setiap tahun antara RM3.5 bilion – RM5 bilion diperlukan untuk menampung lebih kurang 200 ribu pelajar baru dan 600 ribu pelajar sedia ada di IPT, serta sebahagiannya PTPTN perlu jelaskan pinjamannya pada institusi kewangan.

17. Inilah keadaannya, dan apa yang PTPTN lakukan selama ini di zaman BN sudah baik, jika diterus mungkin hanya perlu ditambahnilai sahaja. BN lakukan pelbagai cara untuk mengalakkan pinjaman dibayar. Namun apakan daya PH sudah terlajak cakap. Pasti malu untuk laksanakan apa yang telah BN lakukan selama ini. Namun jika PH terus dengan egonya, PTPTN akan bermasalah.

Jalan terbaik ikutlah apa yang PTPTN lakukan sewaktu BN dahulu, cuma tutuplah muka supaya PH tidak malu. Lagipun, apa salahnya PH memang suka tukar nama dan kulit saja, tapi kalau pembaharuan lesen memandu, roadtax, pasport, lesen perniagaan pun disekat kerana tidak membayar pinjaman ia sangat kejam.

YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
(Mantan Pengerusi PTPTN)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *