Kit Siang dan Mahathir jom debat, on x on – Najib

Share

Jom kita berdebat, Najib beritahu Kit Siang

Najib Razak berkata beliau sedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan pengkritik terkuatnya, Lim Kit Siang, selepas pemimpin kanan DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.

Dalam temu bual dengan FMT di pejabatnya, bekas perdana menteri itu berkata: “Saya dah jawab tiap kali Kit Siang membuat kenyataan, sehingga ada dalam posting saya, saya bagi dia gelaran ‘Menteri Hal Ehwal Najib’. Jadi, saya fikir lebih elok kita ada debat dengan Kit Siang.”


Najib sering berkata Lim “obsesi” dengannya, bagaimanapun “saya bersedia untuk berdebat dengannya mengenai isu tertentu supaya kita boleh ketengahkan pendirian kita dalam isu-isu tertentu supaya rakyat boleh menilai.”

Najib berkata Lim senyap beberapa bulan selepas beliau digelar “Menteri Hal Ehwal Najib”.

Dalam serangan terbarunya terhadap Najib, bekas ahli politik veteran DAP itu mendakwa frasa Najib, “Malu Apa Bossku” melanggar Rukunegara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.


“Pada hakikatnya, kempen ‘Malu Apa Bossku’ melanggar prinsip ke-5 Rukunegara dan ‘Moraliti dan Tingkah Laku Baik’, satu cabaran kepada Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 dan halangan kepada misi kebangsaan untuk mengubah Malaysia daripada kleptokrasi global kepada negara berintegriti,” kata Lim.

Najib berkata frasa “Malu Apa Bossku” sebenarnya bukan kempen seperti yang sering digambarkan.

Beliau berkata ayat itu dicipta oleh golongan belia.


“Mereka sendiri yang buat ayat, mereka sendiri design t-shirt, mereka sendiri buat grafik. Jadi ini suatu yang terbit dari hati nurani orang muda sendiri,” kata bekas pemimpin itu.

Beliau berkata, ayat itu “akan berterusan selagi golongan muda menyukainya”.

“Kalau orang muda rasa sampai masa mereka tidak suka, jadi tak ada lagi, tapi setakat ini Alhamdulilah sambutan ‘Bossku’ ini boleh dikatakan di luar jangkaan sama sekali.

“Tapi saya selalu tekankan apabila orang sebut ‘Bossku’, bukan saya bos tapi rakyat. Rakyat adalah bos.”

Ketika ditanya bila beliau akan berdebat dengan Lim, Najib berkata beliau bersedia pada bila-bila masa.

Tetapi beliau berharap Lim memahami jadualnya yang terhalang oleh kes mahkamah yang berterusan.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu saya terlalu lapang. Tetapi saya akan meluangkan masa untuk Kit Siang jika dia sedia berdebat.

“Ia boleh jadi perdebatan gaya bebas untuk bercakap. Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran.”

Katanya, beliau yakin Lim boleh meluangkan masa untuk berdebat kerana beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet.

“Sekiranya dia cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat.”

Selepas cabar Kit Siang, Najib ajak Dr M pula berdebat

Najib Razak mengajak bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad berdebat selepas mencabar pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang berbuat demikian hari ini.

Najib berkata jika Mahathir mahu berdebat dengannya, beliau akan menyahut cabaran itu.

“Saya faham juga tugas seorang PM adalah sibuk tapi jika PM ke-7 berpendapat dia ada masa atau ada keperluan untuk debat dengan saya tentu akan sahut cabaran itu,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Hari ini, Najib dalam temu bual dengan FMT, berkata beliau sedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan Lim selepas veteran DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.

“Saya bersedia untuk berdebat dengannya mengenai isu tertentu supaya kita boleh ketengahkan pendirian kita dalam isu-isu tertentu supaya rakyat boleh menilai,” katanya yang turut menggelarkan Lim sebagai “Menteri Hal Ehwal Najib”.

Cabaran itu dibuat selepas Lim mendakwa frasa Najib, “Malu Apa Bossku” melanggar Rukun Negara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.

Menjawab pertanyaan penyokong PH mengapa beliau tidak berdebat dengan Mahathir semasa berkuasa dulu, katanya, beliau tidak mempunyai masa untuk berdebat ketika bergelar perdana menteri.

“Masa itu, saya PM dan tak banyak masa untuk debat.

“Masa itu juga, PM ke-4 masih ahli Umno.

“Adalah janggal untuk pemimpin Umno berdebat dengan pemimpin Umno pada masa itu,” katanya.

Najib juga menjawab persoalan pengguna media sosial yang mempertikaikan pelawaan debatnya, di mana Najib pernah menolak debat dengan mengatakan debat bukan budaya negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata beliau tidak menolak debat secara menyeluruh tetapi perlu melihat keadaan.

“Sekarang, rakyat tak dapat lagi maklumat yang betul lagi kerana kita tahu kerajaan PH teramat kuat menipu.

“Saya tidak membuat U-turn tentang debat dan saya tidak fitnah seperti PH,” katanya.

FMT

Leave a Reply