APA AGENDA UNDI PADA USIA 18 TAHUN?

Share

Oleh Ab Jalil Backer

Tindakan seorang belia berusia 16 tahun di Sarawak membunuh diri kerana tekanan perasaan menimbulkan satu tanda tanya penting. 69 peratus rakan instagramnya menyokong beliau membunuh diri.
Apakah yang sedang berlaku kepada masyarakat kita hari ini terutamanya anak muda?

Suatu ketika dahulu anak muda kita dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah dan kenegaraan dari program Rakan Muda, sukan komuniti, aktiviti persatuan belia dan badan uniform begitu popular di kalangan belia sama ada di sekolah atau peringkat universiti.


Hari ini dengan kehadiran media sosial dan internet belia sudah berubah kepada suasana persekitaran permainan komputer, e-sport dan terbaharu polemik politik yang keterlaluan tidak berkesudahan.

Permainan komputer dan e-sport tidak seperti sukan fizikal atau aktiviti riadah luaran. Mereka yang dalam aktiviti permainan komputer ini cenderung mengasingkan dari persekitaran luar dan kemahuan untuk menguasai sesuatu permainan dalam talian ini memberi tekanan mental yang tidak sihat kepada anak muda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengiktiraf kewujudan masalah kesihatan mental yang namakan “gaming disorder”. Walaupun bukan semua mereka yang aktif dalam permainan dalam talian berhadapan masalah kesihatan mental, namun peluang mendapatnya sangat tinggi berbanding aktiviti sukan konvensional.


Belia di Malaysia juga berhadapan tekanan perasaan membabitkan persekitaran hari ini yang “menuntut” persaingan gaya hidup rakan sebaya dan penggunaan gajet elektronik yang keterlaluan.

Jika belia dahulu berhadapan cabaran persekitaran soal asas kehidupan seperti pekerjaan, kemiskinan dan pendidikan, yang boleh dibantu oleh kerajaan dan masyarakat; belia hari ini tenggelam dalam cabaran teknologi, lambakan informasi dan gaya hidup di luar kemampuan tanpa persediaan mental yang secukupnya.

Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.


Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Walaupun menyedari masalah belia di negara ini, Syed Saddiq antara orang terkehadapan mahukan had umur pengundi di negara ini diturunkan dari usia 21 tahun kepada 18 tahun.

Tidak cukup dengan tekanan persekitaran hidup komuniti belia yang mencabar berbanding kematangan mental mereka, kerajaan cuba memberi satu lagi tanggungjawab berat kepada belia, menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan.

Memang benar banyak negara telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Ada juga yang menurunkan kepada usia 16 tahun. Namun apakah ia membawa apa-apa perubahan lebih baik kepada negara-negara terbabit?

Adakah wajar kerana negara-negara di dunia menurunkan had umur pengundi maka kita pun perlu mengikut trend ini supaya boleh sama-sama mendabik dada sebagai negara demokrasi yang matang?

Demokrasi memerlukan pengundi yang matang, berpengetahuan mengenai pentadbiran dan ekonomi negara. Namun kebanyakan ahli politik yang berpaksikan aliran populis mahukan umur pengundi diturunkan. Ini memudahkan mereka memanipulasi persepsi dan pemikiran pengundi.

Apakah belia kita pada usia 18 tahun sudah mempunyai kemampuan untuk memahami persekitaran politik, ekonomi, memahami kepentingan agama dan mempunyai kematangan dalam membuat keputusan?

Tidak dinafikan ada belia kita semuda 16-21 tahun yang memahami senario politik dan mempunyai kemampuan berfikir yang melangkaui kematangan kumpulan umur yang lebih dewasa. Namun ini adalah segelintir daripada jutaan belia yang akan membuat keputusan berdasarkan persepsi dan ikutan puak, gaya dan janji yang disukai.

Bahaya menang melalui janji populis dan manipulasi maklumat sudah ada di depan mata. Mereka yang keluar universiti pun mampu dikelirukan dengan janji tidak masuk akal seperti menghapuskan pinjaman pendidikan berpuluh bilion ringgit dan penghapusan tol membabitkan kos beratus bilion ringgit.

Bayangkan keadaan selepas ini apabila wadah demokrasi ini dluaskan lagi kepada mereka yang baru lulus Sijil Pelajaran Malaysia. Apakah perlu kita menambah lompang kelemahan demokrasi ini? Apakah mereka yang berumur di bawah 18 -21 tahun ini juga mahu hak ini atau ia hanyalah nafsu ahli politik mengejar populariti semata-mata?

Politik negara ini memerlukan kematangan dan pertanggungjawaban.

Justeru daripada berusaha menang pilihan raya atau mempertahankan jawatan melalui kaedah menurunkan had umur, adalah lebih baik ahli politik negara bekerja keras meyakinkan rakyat yang telah matang dan berpengetahuan bahawa mereka mampu menguruskan negara dengan baik.

Sinar

Leave a Reply