Berpolitik dalam masjid perbuatan biadab, tidak beretika – Sultan Johor

Sultan Johor bertitah, perbuatan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang berucap dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, pada 10 Mei lalu sebagai baidab, tidak beretika dan tidak boleh diterima sama sekali.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perbuatan itu jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang dibina sejak zaman berzaman di negeri ini selain mempunyai kepentingan tertentu walaupun sudah dimaklumkan tidak boleh berpolitik dalam masjid.

“Tindakan Ahli Parlimen Labis ini telah mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat serta umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perbuatan Ahli Parlimen tersebut dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya telah mengguris perasaan umat Islam terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini di mana umat Islam dianjurkan untuk berkasih sayang dan mengelakkan perpecahan serta merapatkan saf dan perpaduan.

“(Ini) pencabulan serius terhadap kesucian masjid sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim. Pelanggaran sempadan yang telah saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor gariskan sebelum ini apatah lagi larangan ini baharu sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini sebentar tadi.

Titah baginda, wujud pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang berkuat kuasa dalam negeri ini.

“Saya yakin Ahli Parlimen tersebut dan pihak-pihak yang ada berkepentingan akan menafikan bahawa mereka telah berucap berkaitan politik di dalam majlis tersebut,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Johor bertitah, masjid adalah zon bebas politik yang merupakan tempat bagi mereka yang mahukan ketenteraman jiwa dan suasana damai bagi mendekatkan diri kepada Allah tanpa adanya unsur politik yang mendukung parti-parti tertentu di dalamnya.

“Anda boleh sahaja bercakap politik dan berbeza pegangan politik dari pagi hingga malam, dari kedai kopi ke hotel, dari tepi jalan ke puncak gunung bagi meraih sokongan tapi bukan di dalam masjid yang suci itu.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kesucian masjid di Johor sentiasa terjaga dan bagi memastikan kesucian masjid itu, saya mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan kaedah dan mekanisma bagi memastikan masjid di Johor sentiasa dilimpahi dengan keredaan dan keampunan Allah serta ketenangan, kedamaian tanpa hiruk-pikuk politik,” titah Baginda lagi.

Sultan Johor bertitah, perkara itu selaras dengan kehendak Fasal 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) Tahun 2003. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker