Ringgit menjunam, hutang meningkat bagi Ku Li ekonomi negara tidak baik

Share


Ekonomi negara kini bukan sahaja berdepan situasi sengit malah berada dalam keadaan tidak baik.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, melihat kepada petunjuk itu, kadar pertumbuhan ekonomi yang diharapkan berkembang pada 4.9 peratus pada tahun ini tidak akan tercapai.

Jelas beliau, pendapat sama juga telah dikongsi oleh badan penarafan seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Kita ada banyak masalah apabila nilai ringgit kita menjunam jatuh.

“Ini kerana hutang kita makin banyak dan kebanyakan jual beli dalam dolar Amerika.

“Selagi keadaan ini berterusan kita tidak dapat baiki kedudukan kerana hendak tarik pelabur bukan mudah dengan kedudukan ringgit kita.

“Kita juga alami keadaan di mana daya pengeluaran telah jatuh dengan banyak maka sukar untuk kita nak buat adjustment (pelarasan) kepada kejatuhan nilai ringgit kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa Majlis Perundingan Melayu di sini hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak memiliki formula bagaimana kerajaan dapat mengatasi kejatuhan ringgit.

Namun jelas beliau, kerajaan perlu menggalakkan sebanyak mungkin pelaburan ke dalam negara.

Pada masa sama ujarnya, penggunaan produk bernilai yang bukan second hand ditingkatkan selain mengawal pengeluaran wang tunai.

“Kurangkan import dan buruh luar yang tidak beri hasil supaya jimat pengeluaran wang ke luar.

“Ini disebabkan berlakunya bocor ekonomi kerana pendapatan yang kita dapat telah habis dengan pengeluaran wang.

“Cadangan lebih praktikal ialah mengurangkan pengambilan buruh asing yang tidak ada kemahiran atau belum dilatih.

“Kebanyakan mereka datang tadah tangan untuk dapat bayaran dan pengaliran wang banyak turut menjejaskan nilai ringgit,” katanya.

Tengku Razaleigh memberitahu memburukkan keadaan, pekerja dalam negara pula menggesa kenaikan gaji.

Tegas beliau, situasi itu tidak boleh menyelesaikan masalah sebaliknya menjuruskan keadaan kepada berlakunya inflasi.

“Setiap kali gaji naik harga barang akan naik.

“Jadi selama-lamanya kita akan kejar kenaikan barang seperti di Zimbabwe hingga nilai wang kita tiada makna lagi,” katanya. – MalaysiaGazette


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *