Bersara Hanya Wayang Politik Kit Siang

Share


Ugutan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bersara sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu wayang politik.

Ugutan itu juga dilihat sebagai memberi gambaran bahawa DAP masih berpengaruh dalam Pakatan Harapan (PH).

Itu dakwaan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang turut menyifatkan Kit Siang akan segera bersara untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap Dr. Mahathir jika pemimpin veteren DAP itu benar-benar ikhlas.

“Oleh itu, Kit Siang digesa berhenti berwayang, sepertimana beliau juga membuat wayang apabila berjanji bahawa DAP akan menyemak dan mengimbang Dr. Mahathir, dan juga akan menyiasat semula skandal-skandal yang berlaku di bawah pemerintahan Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat selama 23 tahun.

“Tetapi, tindakan Kit Siang mengugut bersara memang selari dengan sikapnya selama ini, iaitu untuk mewujudkan masalah dan membiarkan orang lain ‘membersihkannya’. Sebelum ini DAP di bawah kepemimpinannya telah menghasut rakyat membenci Dr. Mahathir, alangkah terkejutnya rakyat apabila mereka sanggup bekerjasama dengan diktator ini semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lian Ker mendakwa, Kit Siang seolah-olah hendak melarikan diri apabila sikap diktator Dr. Mahathir mula menyerlah, malah sanggup untuk bersara supaya dilihat sebagai seorang ‘wira’.

“Hakikatnya, DAP yang mengembalikan seorang diktator kepada pucuk pimpinan negara atas ketamakan kuasa mereka sendiri. Ia jelas dilihat bahawa Kit Siang memang tidak memainkan peranannya dengan baik, dan negara tidak akan kehilangan atau rugi jika beliau masih kekal ataupun bersara.

“Jadi, Kit Siang digesa berhenti membuat wayang mahu bersara atau lebih baik lagi menunaikan janjinya untuk menyiasat semula skandal-skandal yang didakwa berlaku di bawah (pemerintahan) Dr. Mahathir,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *