Melayu Bersatu Melalui UMNO-PAS Dikatakan Rasis…. Cina Bersatu Melalui Dap Apa Pula?

 

KEMENANGAN Dap di PRK Parlimen Sandakan memang sudah dijangka. Melihat kepada komposisi kaum di kawasan itu yang didominasi pengundi Cina, kita memang sudah menjangkakan Dap akan menang.

Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan bersama Barisan Nasional (BN) lagi. PBS sudah meninggalkan BN dan tidak lagi berada dalam komponen itu. Walau bagaimanapun oleh kerana PBS merupakan parti pembangkang maka sebagai menunjukkan solidariti, UMNO Sabah membantu calon PBS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

PRK ini mengesahkan lagi bahawa sokongan pengundi Cina masih kepada Dap. Semasa Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) sokongan pengundi Cina terhadap Dap berada pada tahap 95 peratus. Ini bermakna orang Cina telah bersatu di bawah Dap untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang ketika itu diterajui BN.

Jika dilihat daripada keputusan PRU lalu, Dap menguasai negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka malah Johor.

Di dalam Parlimen pula, Dap merupakan parti kedua terbesar selepas PKR. Kemenangan mereka di kerusi campuran pengundi Cina yang ramai. Ini jelas menunjukkan orang Cina bersatu di bawah Dap untuk menumbangkan Kerajaan BN. ‘Trend’ sokongan ini berterusan dan dapat dilihat di PRK Sandakan.

Kita tidak menyalahkan orang Cina untuk bersatu menyokong Dap. Itu hak mereka berlandaskan hak demokrasi. Itu hak mereka untuk memperkukuhkan solidariti kaum mereka. Itu hak mereka untuk meneruskan agenda mereka bagi menuntut lebih banyak yang mereka anggap hak mereka. Demi demokrasi tiada siapa berhak menghalang.

Cuma yang menghairankan mengapa hak-hak tersebut tidak boleh diperjuangkan oleh orang Melayu?

Apabila orang Melayu ingin bersatu di atas platform Perpaduan Ummah seperti penyatuan kerjasama antara UMNO dan PAS, ada pula pihak tertentu yang keras menentang. Pemimpin Dap seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng membuat kenyataan menuduh kerjasama ini sebagai satu pengistiharan perang terhadap orang bukan Melayu.

Malah Pengerusi Dap Perak, Nga Kor Ming membuat kenyataan bahawa jika UMNO-PAS berjaya menubuhkan kerajaan, Malaysia kononnya akan ditadbir oleh kerajaan ala Taliban.

Persoalannya kenapa orang Melayu dihalang daripada bersatu bersama UMNO-PAS dan dituduh pula dengan pelbagai persepsi negatif, sedangkan mereka merasakan tidak salah pula orang Cina bersatu di bawah Dap?

Apakah hak untuk bersatu memperkukuhkan kerjasama kaum hanya merupakan hak orang “Cina Dap” semata-semata? Apakah Orang Melayu tidak mempunyai hak untuk bersatu?

Jika bersatu itu dianggap rasis dan boleh mengancam kaum lain? Orang Cina bersatu dengan Dap bukan sahaja untuk menuntut apa yang mereka fikir hak mereka, tetapi turut mencabar dan menggugat hak orang Melayu dan Bumiputera.

Sedangkan orang Melayu bersatu hanya untuk mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang sedang digugat dan dicabar oleh Dap.

Saya harap Dap tidak bersikap bias terhadap orang Melayu. Jangan kerana untuk menutup sikap perkauman mereka yang rakus dan jahat, maka orang Melayu dilemparkan pelbagai fitnah sedangkan dalam masa yang sama Dap menghalalkan pula segala tindak tanduk chauvanis mereka.

Sejak merdeka negara berada dalam keadaan aman sejahtera. Sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman makmur dan tenteram. Janganlah cuba pecah-belahkan keadaan sedia ada. Gunakan hak masing-masing dalam ruang lingkup yang telah dipersetujui berlandaskan Perlembagaan.

Jangan menceroboh ke luar garisan sempadan yang dibenarkan. Ingat! Keamanan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama.

MCA juga merupakan parti kaum Cina yang memperjuangkan kepentingan kaum tersebut tetapi perjuangan mereka di dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Namun MCA dianggap pembelot kepada kaum cina oleh penyokong Dap.

Jelas bahawa Dap bukan sahaja rasis tetapi cuba mencabar dan merobah sesuatu yang dipersetujui oleh semua kaum di dalam “sosial kontrak” yang seterusnya membentuk Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan Dap ini merupakan “time bomb” kepada kedamaian Malaysia. Penghinaan tanpa henti kepada Islam dan Bangsa Melayu secara terbuka tanpa henti benar-benar mencabar kesabaran kaum Melayu.

Kerisauan saya ialah kesabaran orang Melayu yang semakin tercabar. Kekhuatiran saya apabila kesabaran yang sudah sampai kepada kemuncak ini akhirnya akan membinasakan keamanan negara dan boleh mencetuskan huru-hara yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah negara.

Penghinaan terhadap Islam dan Melayu harus dihentikan dan tidak sesekali boleh dijadikan perkara enteng dan remeh.

Dengan semangat Ramadan yang berkat ini saya menyeru orang Melayu supaya bersatu dan istiqamah tanpa kita perjudikan sikap kepartian yang jelas telah merugikan kaum pada hari ini.

Melayu dipecah-belahkan kepada banyak segmen agar lemah, tetapi dalam masa yang sama “orang cina Dap” jelas dalam politik kaum mereka sehingga ada pihak yang sudah terlalu berani menuntut sesuatu yang bukan hak mereka pun.

Melayu perlu bersatu untuk mempertahankan hak kita dan mengekalkan segala isi kandungan Perlembagaan Persekutuan yang sama kita persetujui sebagai rakyat Malaysia yang bijak dan bertoleransi. Keamanan bukan sesuatu yang boleh dijual-beli.

Dengan itu marilah kita sama-sama tanpa mengira ugama, kaum atau latar belakang keturunan mengekalkan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini tanpa memperjudikan masa depan Malaysia.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Umno Online

Orang Melayu Sudah Mula Hilang Keyakinan Terhadap Kerajaan Baru – Ismail Sabri

 

Related Articles

One Comment

  1. One thing which I don’t understand is why should UMNO and PAS be bothered with whatever DAP is saying about the cooperation. Just ignore ! They can’t stop the majority race from uniting. Ayo ! one thing for sure the malays will be united come PRU 15.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker