DAP merasai ‘racun’ sendiri

Oleh AB JALIL BACKER

SEJAK sedekad yang lalu, integrasi nasional antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung semakin terhakis kerana permainan politik pihak yang terdesak untuk mendapat kuasa.

Penduduk Sabah dan Sarawak dihasut menjadi anti-Persekutuan bagi tujuan menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara dua parti politik yang paling kuat berkempen di Sarawak untuk mendapatkan semula apa yang mereka kata sebagai hak dan kuasa autonomi Sarawak.

Di Sabah pula muncul gerakan Sabah for Sabahan yang dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang kelihatan dibayangi DAP. Gerakan ini menjadi kuat apabila bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menubuhkan parti Warisan.

Polemik ini berterusan apabila usaha Pakatan Harapan (PH) untuk meminda Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Malaysia telah gagal mendapat sokongan majoriti 2/3 di Parlimen. PH dengan pantas mengambil kesempatan menyalahkan ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak termasuk UMNO.

Mereka dituduh menggagalkan usaha mengembalikan kedudukan dan kuasa autonomi Sabah dan Sarawak.

Ini tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak melihat pindaan ini tidak memenuhi kehendak penduduk Sabah dan Sarawak yang telah termakan hasutan DAP dan PKR sejak beberapa lama lalu.
Menurut Ahli Parlimen Batang Lupar (Sarawak), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mereka menolak cadangan pindaan yang dibentangkan PH kerana ia tidak membetulkan kesilapan asal.

Pada 1976, Perkara 1(2) dipinda untuk semua negeri mempunyai kedudukan sama rata dalam persekutuan. Menurut fasal itu: “Negeri-negeri Persekutuan ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.”
Pindaan yang ditolak mahu meminda fasal itu kepada: “Negeri-negeri persekutuan sepatutnya – (a) Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan (b) Sabah serta Sarawak.

Menurut Wan Junaidi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mencadangkan pindaan mereka untuk menyatakan MA63 secara jelas dalam Perkara 1(2).
Cadangan pindaan itu berbunyi: “Negeri dalam persekutuan sepatutnya, menurut Perjanjian Malaysia 1963, (a) Malaya (Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu); serta (b) negeri-negeri Borneo Sabah dan Sarawak.”
Pindaan yang dicadangkan kerajaan tidak membawa apa-apa perubahan kepentingan dan hak kepada Sabah dan Sarawak seperti yang dijanjikan pun kecuali hanya perubahan kosmetik dalam perlembagaan.

Justeru, tidak hairanlah ahli Parlimen GPS dan BN Sabah menolak dan menuntut pindaan yang lebih konkrit. Ucapan Lim Guan Eng dalam Kovensyen DAP Sarawak 2016 di Sibu antara lain ‘mengejek’ bahawa hak dan kepentingan Sarawak dan Sabah telah dihakis dan direndahkan oleh kerajaan persekutuan pentadbiran BN.

Menurut laporan Borneo Post, ucapan Guan Eng yang dibaca oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen antara lain berjanji untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai gabungan setaraf dengan Malaya dalam Persekutuan Malaysia.

Menurut Guan Eng, pindaan kepada artikel 1(2) oleh Parlimen pada 1976 telah merendahkan Sabah dan Sarawak kepada negeri ke-12 dan ke-13 Persekutuan Malaysia. Justeru, adakah salah ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menolak pindaan yang tidak mencerminkan janji PH selama ini?

DAP juga telah berubah nada sebaik menang di peringkat persekutuan. Jika dulu mereka mengapi-apikan perpecahan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung kini mereka pula yang mahu memadam api tersebut.

Beberapa bulan lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hanna Yeoh menyarankan supaya ‘melupakan’ gerakan Sarawak for Sarawakian kerana ia menjejaskan integrasi nasional.

Walaupun saranan Yeoh sangat rasional baik namun beliau dikecam oleh sebahagian NGO di Sarawak. Ini kerana selama ini parti DAP yang dianggotai oleh beliaulah yang menghasut dan menyuburkan kempen ini. Mengapa berubah nada selepas menang?

Ini kerana mereka tahu mentadbir negara tidak semudah seperti membakar api kebencian dan perpecahan. Nasib DAP seperti peribahasa Melayu, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker