Buktikan saya terima keuntungan projek ‘land swap’ – Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Timbalannya, Liew Chin Tong mengemukakan bukti bahawa beliau menerima keuntungan daripada projek pertukaran tanah (land swap) ketika memimpin Kementerian Pertahanan sebelum ini.

Merujuk kepada laporan berita bahawa kerajaan hilang RM500 juta disebabkan projek tersebut, Hishammudin turut memberitahu, empat projek ‘land swap’ itu telah berlaku sejak tahun 1997 iaitu semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Saya cabar Mohamad dan Chin Tong untuk membuktikan bahawa saya mendapat keuntungan secara kewangan dan politik melibatkan projek ‘land swap’ itu sewaktu saya menjadi Menteri Pertahanan.

“Nasihat saya kepada mereka berdua, jika mereka tinggal di dalam rumah kaca, jangan berani melemparkan batu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Mohamad dalam sidang akhbar mendakwa pelaksanaan 13 daripada 16 projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan didapati melibatkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Hasil laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang turut mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan daripada projek tersebut melebihi RM500 juta.

Kesemua 16 projek itu terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan yang telah dan akan dipindah milik.

Mohamad turut menafikan Dr. Mahathir terlibat dalam penyelewengan tersebut walaupun mengakui kaedah ‘land swap’ itu dimulakan sejak tahun 1997. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker