MITOS BANDAR MALAYSIA PULA TERBONGKAR

Share

Oleh Ab Jalil Backer

Jika anda mengikuti perkembangan politik negara sejak tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Bandar Malaysia merupakan satu daripada projek yang dikambinghitamkan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Selain projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia adalah sebahagian mantera Pakatan Harapan bahawa BN telah melelong dan menggadaikan negara kepada China.

Bagi yang kurang jelas, Bandar Malaysia merupakan projek pembangunan baharu di atas tanah seluas 197 hektar di Sungai Besi. Tapak ini sebelumnya merupakan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Pada permulaannya, anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mengambil alih tanah ini dengan kos lebih RM3 bilion. RM400 juta dibayar tunai kepada kerajaan dan sebanyak RM2.7 bilion diperuntukan 1MDB bagi pembinaan kem TUDM yang baharu di Sendayan, Negeri Sembilan dan pemindahan aset-aset sedia ada di Sungai Besi.

Jika anda masih ingat sebelum pilihan raya lalu, bekas Menteri, Rafidah Aziz, pernah bersumpah bahawa semua tanah Angkatan Tentera Malaysia, telah dijual kepada pihak swasta semasa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Jika telah dijual kepada swasta mengapa 1MDB perlu bayar kepada kerajaan dan menanggung kos pemindahan kem ini?

Bandar Malaysia dirancang sebagai pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk bagi KL Internet City yang baharu – hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia. Kawasan ini dijangka mewujudkan 200 ribu peluang pekerjaan baharu pada masa depan.

Bagi menjayakan agenda pembangunan ini, Bandar Malaysia direka letak sebagai pusat pengangkutan utama seluruh negara membabitkan Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura, laluan MRT, KTM Komuter, Airport Express Rail Link serta menghubungkan dua belas lebuh raya lain dan pusat kewangan baharu Tun Razak Exchange (TRX).

Bertentangan dengan cerita politik, pembangunan Bandar Malaysia adalah melalui bidaan sebagai rakan pemaju untuk saham berjumlah 60%. Manakala lebihan 40% ekuiti lagi dipegang oleh Kerajaan Malaysia.

Menurut CH Williams Talhar and Wong (WTW) sebanyak 12 syarikat telah menghantar cadangan untuk mengambil bahagian sebagai rakan pemaju bagi pembangunan Bandar Malaysia pada tarikh tutup bidaan, 28 Ogos 2015.

Disember 2015, Kerajaan mengumumkan pemilihan konsortium IWH-CREC Sdn Bhd sebagai rakan pemaju Bandar Malaysia. Konsortium ini merupakan usahasama syarikat Malaysia Iskandar Waterfront Holdings (IWH) yang mempunyai 60% saham dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebanyak 40%.

Rafizi Ramli dengan pantas menyambutnya dalam catatan menjelang tahun baru, “Tahun 2015 adalah tahun jualan lelong harta negara. Semalam, tanah-tanah yang dulunya Kem Tentera Udara Sg Besi seluas 400 ekar di tengah-tengah Kuala Lumpur dijual lagi kepada konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China. Sebelum ini, aset strategik negara iaitu aset penjanaan elektrik juga dijual kepada syarikat milik Kerajaan China. Lelongan seterusnya ialah projek keretapi laju KL-Singapura berharga RM47 bilion. Saya jangka juga akan dianugerah kepada syarikat milik Kerajaan China. Terima kasih”

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mendakwa kerajaan telah menjual 60 peratus tanah Bandar Malaysia kepada syarikat dari China.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika itu telah menafi dan memaklumkan bahawa “40% dari saham Bandar Malaysia masih dipegang kerajaan Malaysia. Daripada 60% yang kita jual kepada IWH dan China Railways, IWH memegang 36% dari jumlah 60% tersebut. Ini bermakna jika 40% dipegang Kementerian Kewangan dan 36% IWH, maka jumlah pegangan kerajaan dan rakyat Malaysia adalah 76%. Hanya 24% dipegang China Railways,”

Sudah tentu penjelasan Rahman ketika itu tidak dianggap sebagai kebenaran dan mantera kerajaan jual tanah kepada China terus berlarutan sehingga PRU14.

Namun seperti mana tidak benarnya dakwaan bahawa harga ECRL telah dinaikkan berkali ganda dari harga sebenar (lihat tulisan kolum ini pada 22 April 2019: “Mitos ECRL terbongkar”), demikian jugalah mitos kononnya tanah Bandar Malaysia sudah tergadai kepada China.

Kini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan konsortium IWH-CREC yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia, sebenarnya adalah sebuah syarikat Malaysia.

“Kami (pada awalnya) beranggapan ia diberikan sepenuhnya kepada syarikat China. Apabila dilakukan siasatan, syarikat yang menjalankan kerja awal bagi Bandar Malaysia sebenarnya bukan syarikat China. Disebabkan itu, kami mengubah pendirian dan kami mahu mengembalikan semula Bandar Malaysia kepada syarikat yang pertama memenangi bidaan (IWH-CREC),” kata Dr Mahathir.

Agak-agaknya apa perasaan Rafizi Ramli, Shafie Apdal dan pemimpin Pakatan Harapan yang berkempen selama bertahun-tahun menyebarkan fitnah kononnya Bandar Malaysia sudah dijual kepada China untuk membayar hutang 1MDB?

Apakah Perdana Menteri hari ini berbohong juga?

Demikianlah kebenaran memerlukan masa untuk muncul. Kata pepatah Melayu, “nasi sudah menjadi bubur”.

Sinar

One thought on “MITOS BANDAR MALAYSIA PULA TERBONGKAR

  • May 6, 2019 at 4:50 pm
    Permalink

    Beri peluang mereka bergembira untuk 4 tahun lagi..semoga Tun M panjang umur untuk melihat sediri kejatuhan beliau.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *