Pasaran Malaysia kurang menarik, aliran keluar dana asing dijangka berterusan

Share


Aliran keluar dana asing daripada Bursa Malaysia dijangka berterusan berikutan pelabur antarabangsa lebih tertarik kepada pasaran sedang pesat membangun yang lain, terutamanya China dan Thailand, kata penganalisis.

Bagaimanapun, ketua penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, ini tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan menyambut ulang tahun pertama mentadbir negara pada 9 Mei.

“China mencatat prestasi amat baik sejak awal tahun ini, berikutan penjualan yang dilihat pada Disember telah berakhir.

“Bagi indeks pasaran saham Thailand, ia melebihi petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada bulan ini selepas mencatat prestasi rendah sebelum ini,” katanya.

Indeks Bursa Saham Thailand (SET) ditutup pada 1,679.05 Jumaat, manakala Bursa Malaysia pada 1,637.30.

Selain itu, Pong berkata, pendapatan korporat yang mengecewakan sejak akhir 2017 turut menyebabkan pasaran saham tempatan kurang menarik.

“Kita memasuki musim pendapatan suku tahun Mac di mana pengumuman korporat akan dibuat secara berperingkat pada separuh ke-2 bulan ini, bagaimanapun saya bersedia untuk melihat lebih banyak pengumuman yang mengecewakan,” katanya.

Mengulas mengenai aliran dana, Pong berkata, pasaran ekuiti tempatan, yang ditutup pada 1 Mei sempena cuti umum Hari Pekerja, menyaksikan jualan asing bersih yang tinggi sebanyak RM295.5 juta pada minggu ini berbanding RM72 juta pada minggu sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan jualan ekuiti di seluruh dunia pada minggu ini berikutan prestasi Bursa Saham New York yang lemah.

Katanya, penyertaan yang rendah daripada institusi tempatan dan pelabur runcit pada 30 April, sebahagian besarnya disebabkan pengenalan kitaran penyelesaian T+2 yang bermula pada 29 April, turut menyumbang kepada prestasi dana yang lemah pada minggu ini.

“Kita hanya menyaksikan penyertaan sebanyak 39% daripada institusi tempatan pada 30 April berbanding kadar penyertaan yang normal sebanyak 45-50%.

“Bagi pelabur runcit tempatan, penyertaan hanya 21 peratus pada 30 April, apabila ia boleh mencecah sehingga 34.2 peratus seperti yang dilihat pada 22 April, 2019.

“Pelabur menjadi lebih berhati-hati susulan pengenalan kitaran penyelesaian T+2, membawa kepada jangkaan jualan daripada institusi tempatan dan pelabur runcit,” katanya.

Skim T+2 itu, yang bertujuan memendekkan kitaran penyelesaian, akan mengurangkan risiko rakan niaga, meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya saing pasaran dan meningkatkan keharmonian global.

Mengenai prestasi ringgit, ketua penyelidikan ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd Wan Suhaimi Wan Mohd Saidie menjangka unit tempatan kekal berada antara 4.10 dan 4.15 berbanding dolar AS pada separuh pertama tahun ini, disokong oleh asas ekonomi negara yang kukuh.

“Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa yang baik, pertumbuhan permintaan domestik yang mampan serta sistem kewangan yang stabil dan diuruskan dengan baik.

“Oleh itu, saya percaya akan terdapat asas yang kukuh untuk ringgit,” katanya.

Wan Suhaimi berkata, unit tempatan masih berada di bawah nilai berikutan pelabur mencari hala tuju yang lebih jelas mengenai dasar dan kestabilan politik, yang boleh menempatkan Malaysia di hadapan berbanding negara lain.

Mengenai jangkaan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Wan Suhaimi berkata, sejajar dengan ekonomi global yang lembap, pelabur tidak mengambil kira kemungkinan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas, yang telah ditunjukkan pada paras semasa ringgit.

Semasa ditutup pada Jumaat, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 7 Mei ini untuk menentukan sama ada mengurangkan atau mengekalkan OPR.

Bernama


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *