Rahmatan lil alamin: Kefahaman dan kekeliruan

Share

ANJAKAN penghijrahan ke era Malaysia Baharu pada Mei 2018 telah menjanjikan perubahan-perubahan kononnya mampu meringankan kerisauan yang membebani hati dan perasaan gundah-gulana rakyat.

Gagasan Rahmatan lil alamin, Maqasid Syariah serta Model Malaysia menjadi nilai agama dan budaya yang bakal menjadi antara dasar kerajaan baharu dalam membentuk masa depan mencapai sasaran negara rahmat dan membentuk masyarakat harmonis.

Namun menjadi kegelisahan rakyat apabila melihat kepada realiti politik semasa dan isu-isu berbangkit yang menjadi ancaman kepada umat Islam dan institusi Islam. Malah lebih malang lagi apabila umat Islam terpaksa berhimpun bagi menuntut agar hak mereka tidak dicabuli dan bagi mempertahankan kedaulatan Islam. Satu senario yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang majoritinya Islam.


Kegelisahan ini bukan sahaja disuarakan oleh rakyat marhaen, malah melibatkan para intelektual dan agamawan seperti Mufti Perlis. Beliau menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli menyebabkan rakyat akur bahawa Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Bagi merungkai kekeliruan gagasan Rahmatan lil alamin, saya cuba mengekspresikan sedikit usaha meneliti ayat-ayat suci al-Quran dan kitab-kitab tafsir muktabar bagi memahami maksud sebenarnya secara tuntas berdasarkan definisi, metodologi dan tafsiran para ulama muktabar terhadap firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kami tidak mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam.”
 (al-Anbiya 107).


Setelah menelusuri maksud sebenar ayat ini disesuaikan dengan metodologi Ahlul Sunnah Wal Jamaah dapat disimpulkan: Rahmatan lil alamin bukan hak asasi manusia dan kebebasan. Keghairahan menuntut hak kesamarataan atas nama hak asasi manusia malah meraikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) lebih daripada sepatutnya menimbulkan perasaan kurang selesa kepada umat Islam. Golongan liberalisme dan pluralisme semakin berani menyebarkan ideologi yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Rahmatan lil alamin bukan toleransi tanpa batasan. Rahmatan lil alamin adalah satu cara hidup dan seni berpolitik berlembut dan bertegas yang berprinsip dan berperaturan. Terkandung padanya aspek nasihat, tanggungjawab, pencegahan, peringatan, tindakan undang-undang bahkan terkadang terpaksa berjihad mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Tidak keterlaluan jika saya katakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membumikan makna Rahmatan lil alamin dalam kepimpinannya melalui dua dimensi iaitu pendekatan berlembut dan bertegas. Sikap berlembut, bertolak ansur dan memberikan ruang serta peluang oleh kepimpinan tertinggi parti kepada pimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan serta sayap tidak bermaksud mereka boleh melakukan sesuatu tindakan sesuka hati tanpa makluman dan restu kepimpinan pusat.


Ketegasan kepimpinan membuat keputusan bukan bermakna tiada ruang untuk berunding dan bertolak ansur. Sebenarnya, dimensi berlembut dan bertegas inilah yang menjadi satu keunikan kepada kepimpinan UMNO dan BN sejak sekian lama.

Bagi menzahirkan ketegasan dan solidariti mempertahankan kedaulatan Islam, marilah kita bersama-sama hadir ke Perhimpunan Rakyat, esok (4 Mei 2019) dengan niat dan tekad ‘Pertahankan Maruah Agama, Islam Didaulatkan’.



AHMAD ZAHID HAMIDI

#demiummah

#akhiratdidepan

Leave a Reply