Mukhriz setuju dengan saranan bapanya tanam padi waktu malam.

Share

Penanaman padi pada waktu malam bukan perkara baharu, sebaliknya amalan petani pada zaman dahulu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sehubungan itu, katanya, pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara berkenaan adalah berdasarkan ingatan Perdana Menteri pada waktu muda.

“Bagi sesetengah orang mungkin ia pelik, di luar kotak. Sebenarnya, itu amalan dulu-dulu. “Mungkin Tun (Mahathir) sebagai orang yang paling lama antara kita, beliau ingat perkara itu (tanam padi waktu malam).


“Saya ingat waktu kecil saya ke Tokai, dekat Pendang, memang ada pesawah bekerja pada waktu malam dengan memasang lampu gasolin,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Jom Turun Bendang di Sungai Limau Dalam, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Dr Mahathir bahawa kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.

Mukhriz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berkata cadangan itu mungkin boleh dipertimbangkan jika membawa manfaat kepada pesawah.


Katanya, MADA akan meneliti perkara itu dengan melihat kesesuaian tempat, keadaan dan masa mengenai cadangan itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) 4 Sungai Limau, Datuk Ismail Arshad, berkata pada tahun 50-an hingga 60-an proses penanaman padi memang dilakukan pada waktu malam.

“Kerja menuai, memukul (membanting) padi, dilakukan pada waktu malam… kalau bulan terang, kita bergantung pada cahaya bulan, jika tak guna lampu gasolin.


“Kebiasaannya selepas solat Isyak dah ada turun ke sawah… bergantung pada keadaan cuaca,” katanya.

BH

Leave a Reply