Teruskan fitnah saya – Hishammuddin

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengalu-alukan mana-mana pihak yang berterusan mahu menfitnah beliau akan melompat parti tetapi hakikatnya, Ahli Parlimen Sembrong itu setia bersama UMNO.

Menurut Hishammuddin, soalan mengenai khabar angin dirinya akan melompat parti sudah diajukan kepadanya berkali-kali tetapi beliau masih lagi memakai baju UMNO, menghadiri mesyuarat perhubungan negeri, malah bersama-sama berkempen pada setiap pilihan raya kecil disertai parti.

Beliau berterima kasih kepada UMNO Johor kerana soalan seumpama itu tidak pernah datang daripada rakan-rakan seperjuangannya di negeri ini kerana mereka mengenali siapa Hishammuddin sebenarnya.

“Ia adalah cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mungkin ada kepentingan peribadi atau mempunyai matlamat hendak melaga-lagakan pemimpin, kita jawab bukan dengan kenyataan tetapi dengan tindak tanduk kita, saya hadir di semua pilihan raya kecil dan saya juga hadir pada semua hari penamaan calon.

“Saya sudah ditanya mengenainya (lompat parti) banyak kali dan sekarang apa yang kita nampak adalah orang yang tak ditanya soalan itu yang sudah lompat, orang yang ditanya soalan itu hari-hari pula masih lagi setia memakai baju UMNO.

“Jadi, sekali lagi saya nak ulang, saya tidak akan ke mana-mana dan tetap akan bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, dalam politik apabila orang masih lagi memperkatakan mengenai dirinya itu bermakna beliau masih relevan, cerita baik atau buruk dalam politik adalah baik untuk seorang ahli politik sekali gus sesiapa pun boleh bercakap mengenai dirinya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker