Mufti Perlis pekak – Mahathir

Mufti Perlis ‘pekak’ dakwa kerajaan PH tidak pertahankan Islam

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempertahankan Islam.

Perdana Menteri berkata, jika Mohd Asri boleh mendengar, sudah tentu beliau tahu pelbagai usaha dilakukan kerajaan PH dalam menjaga Islam di negara ini.

“Sebab dia pekak, kalau dia boleh mendengar, kita buat macam-macam untuk orang Islam, agama Islam (di negara ini).

“Tetapi dia tidak mendengar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini, malam ini.

Mohd Asri dalam perkongsian di media sosial Facebook miliknya mendakwa suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

Beliau mendakwa pelbagai kenyataan dibuat oleh individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam.

Dakwanya pihak yang menimbulkan ketegangan itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan, manakala individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.

Mohd Asri dipercaya membuat kenyataan itu susulan seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik, direman empat hari untuk membantu siasatan, kelmarin.

Pendakwah itu ditahan susulan lebih 700 laporan polis yang diterima di seluruh negara terhadap satu klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker